LE MANS: Juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin membuktikan kebangkitannya bersama Aprilia semakin nyata apabila meraih kemenangan grand prix (GP) pertama bersama pasukan itu di Circuit de la Sarthe, kelmarin.
Pelumba Sepanyol itu menampilkan aksi cemerlang untuk memintas rakan sepasukan, Marco Bezzecchi sebelum menamatkan perlumbaan dengan kelebihan 0.477 saat sekali gus mengukuhkan cabarannya dalam perebutan gelaran dunia musim ini.
Kemenangan tersebut melengkapkan hujung minggu sempurna Martin selepas turut menjuarai perlumbaan pecut pada Sabtu lalu.
Lebih manis, kejayaan itu hadir di litar sama yang pernah menyaksikan Martin hampir meninggalkan Aprilia musim lalu ketika berdepan masalah kecederaan berpanjangan.
“Bukan sahaja fizikal, mental saya juga sangat teruji musim lalu. Saya pernah datang ke sini dan memberitahu Massimo (Rivola) (Pengurus Aprilia) bahawa saya mahu meninggalkan pasukan.
“Tetapi sekarang saya bersyukur kerana kekal bersama Aprilia dan semuanya bergerak ke arah yang betul,” kata Martin yang memenangi GP pertamanya sejak GP Indonesia pada 2024.
Dalam perlumbaan kelmarin, Martin hanya berada di kedudukan ketujuh pada awal saingan, manakala Bezzecchi sekali lagi mendominasi perlumbaan selepas turut mengetuai GP Thailand, Brazil dan Amerika Syarikat sebelum ini.
Namun, Martin enggan mengalah dan berjaya memotong beberapa pelumba utama termasuk Pedro Acosta sebelum mengejar Bezzecchi pada 10 pusingan terakhir.
“Saya nampak Marco mula bergelut dengan cengkaman tayar belakang, jadi saya terus menekan dan menukar beberapa tetapan jentera. Saya tidak pasti sama ada mampu meninggalkannya selepas memotong, tetapi saya berjaya melakukannya,” kata Martin.
Kemenangan itu menyaksikan Martin kini hanya ketinggalan satu mata di belakang Bezzecchi dalam kedudukan keseluruhan kejuaraan dunia MotoGP. – AGENSI/UTUSAN










