PHNOM PENH: Ribuan rakyat Kemboja termasuk kanak-kanak masih tinggal di kem penempatan sementara, beberapa bulan selepas tercetusnya pertempuran terbaharu di sempadan negara itu dengan Thailand.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, lebih 34,440 orang masih berada di kem penempatan di Kemboja, termasuk 11,355 kanak-kanak setakat bulan ini.
Dipaksa meninggalkan rumah di kawasan yang sama ada kini dikuasai tentera Thailand atau berada dalam keadaan berjaga-jaga, keluarga terjejas terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.
Sebahagian mereka mula berpindah daripada khemah kecemasan ke rumah kayu yang disediakan kerajaan Kemboja, namun keadaan masih tidak stabil.
Gencatan senjata rapuh antara Bangkok dan Phnom Penh belum berjaya memulihkan keamanan di kawasan sempadan, dengan ketegangan antara kedua-dua negara masih berterusan.
Di wilayah Banteay Meanchey, kawasan seperti kampun Chouk Chey dan Prey Chan menjadi tumpuan sentimen nasionalis.
Sebahagian penduduk menuduh tentera Thailand menceroboh wilayah Kemboja, merujuk kontena penghantaran dan kawat berduri yang digunakan untuk menyekat akses ke kawasan pernah didiami penduduk tempatan.
Kontena yang dipasang oleh tentera Thailand kini membentuk seperti sempadan baharu antara kedua-dua negara.
Tentera Kemboja juga menghalang penduduk daripada kembali ke rumah mereka di kawasan barisan hadapan, yang masih zon ketenteraan ketat, dengan askar sentiasa bersiap sedia untuk kemungkinan pertempuran baharu.
Bagi keluarga yang melarikan diri daripada pertempuran, persekolahan masih diteruskan untuk kanak-kanak di kem penempatan sementara, namun ibu bapa berkata pendidikan mereka terganggu dan tidak teratur ekoran kehidupan yang masih tidak stabil.
Pertikaian sempadan yang berlarutan antara Thailand dan Kemboja meletus dalam dua pusingan konflik tahun lalu, masing-masing selama lima hari pada Julai dan hampir tiga minggu pada Disember.- AL JAZEERA











