WASHINGTON: Analisis perisikan Amerika Syarikat (AS) mendapati Iran mampu bertahan selama beberapa bulan di bawah tekanan sekatan laut yang dikenakan Washington, ketika usaha menamatkan perang antara kedua-dua negara dilihat semakin terganggu susulan pertempuran terbaharu di Teluk kelmarin.
Penilaian Agensi Perisikan Pusat (CIA) menunjukkan Iran tidak akan mengalami tekanan ekonomi yang teruk akibat sekatan AS terhadap pelabuhan, sekurang-kurangnya untuk tempoh sekitar empat bulan lagi, menurut seorang pegawai yang mengetahui perkara itu.
Ia menunjukkan pengaruh AS terhadap Teheran masih terhad ketika kedua-dua pihak berusaha menamatkan konflik yang tidak popular dalam kalangan pengundi Amerika.
The Washington Post pertama kali melaporkan penilaian tersebut.
Bagaimanapun, seorang pegawai perisikan kanan menyifatkan dakwaan mengenai analisis CIA itu sebagai tidak benar, dan berkata sekatan tersebut memberi kesan kerosakan yang nyata, termasuk memutuskan perdagangan, menjejaskan pendapatan serta mempercepatkan keruntuhan ekonomi sistemik.
Washington kini sedang menunggu respons Teheran terhadap cadangan AS yang bertujuan menamatkan perang secara rasmi sebelum rundingan diteruskan ke isu lebih sensitif, termasuk program nuklear Iran.
“Perkara itu mungkin akan diketahui hari ini. Kami menjangkakan respons daripada mereka,” kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, kepada wartawan di Rom kelmarin.
Beberapa hari kebelakangan ini menyaksikan peningkatan ketegangan terbesar dalam pertempuran di sekitar Selat Hormuz sejak gencatan senjata bermula sebulan lalu, dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut menjadi sasaran serangan baharu pada Jumaat.
Sebuah jet pejuang AS melumpuhkan dua kapal tangki berbendera Iran bagi menguatkuasakan sekatan pelabuhan pada Jumaat, sekali gus mencetuskan serangan balas daripada Teheran.
Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, sebuah pesawat pejuang F/A-18 Super Hornet menggunakan senjata tepat pada Jumaat terhadap dua kapal di Teluk Oman, pintu masuk ke Selat Hormuz, bagi menghalang kapal terbabit daripada meneruskan pelayaran ke Iran.
Susulan itu, tentera laut Iran ‘bertindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata dan keganasan AS dengan melancarkan serangan’, namun memaklumkan pertempuran kini dihentikan.- AGENSI










