Hari Belia: 94 belia sampaikan khutbah Jumaat di Perak

Hari Belia: 94 belia sampaikan khutbah Jumaat di Perak

MUHAMMAD Muiz Abdul Malek menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II di Teluk Intan, Perak semalam. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seramai 94 belia diberi penghormatan menyampaikan khutbah Jumaat di masjid seluruh Perak semalam sempena Sambutan Hari Belia Negara pada 15 Mei ini.

Imam Masjid Sultan Idris Shah II di sini, Muhammad Muiz Abdul Malek, 27, antara belia yang terpilih membaca khutbah Jumaat hari ini berkata, peluang itu adalah penghormatan dan pengiktirafan kepada golongan belia di negeri ini.

Menurutnya, apatah lagi mereka yang dipilih menyampaikan khutbah bertajuk Belia: Tenaga Penggerak Kemajuan Negara itu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Pada pendapat saya, perkenan Sultan Perak untuk golongan belia menyampaikan khutbah di masjid-masjid seluruh negeri merupakan satu penghormatan besar kepada kami.

“Pada awalnya saya tidak terlalu berdebar kerana sudah biasa menyampaikan khutbah Jumaat. Namun, perasaan itu hadir apabila melihat gambar saya pada poster khas sempena Hari Belia bagi makluman penyampaian khutbah semalam.

“Peluang kepada belia menyampaikan khutbah Jumaat di seluruh negeri ini juga mengiktiraf peranan golongan belia dalam masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Muhammad Muiz berkata, program itu diharap dapat membentuk keperibadian belia agar berjaya di dunia dan akhirat selain mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Kepada golongan belia, bentuklah diri dengan ajaran Islam sejak usia muda sehingga bertemu Allah SWT kerana kematian tidak mengenal usia.

“Hiduplah dengan Islam sehingga akhir hayat dan jangan sesekali meninggalkan solat walau sesibuk mana mencari rezeki kerana kadangkala kita terlupa untuk bertemu pemberi rezeki,” katanya.

Semalam, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, Sultan Nazrin memperkenankan golongan belia membaca khutbah Jumaat di masjid seluruh negeri sempena Sambutan Hari Belia Negara.

Mereka diberi penghormatan menyampaikan khutbah bertajuk ‘Belia: Tenaga Penggerak Kemajuan Negara’.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×