Berhabis demi minat tanam bromeliad

Berhabis demi minat tanam bromeliad

AHMAD Tarmizi Salleh bersama sebahagian koleksi pokok bromeliad yang terdapat di rumahnya di Kampung Telaga Batin, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Bermula sekadar hobi mengisi masa lapang pada 2018, minat mendalam terhadap tanaman bromeliad kini membawa Ahmad Tarmizi Salleh, 46, membina sebuah nurseri kecil-kecilan di kediamannya di Kampung Telaga Batin, di sini.

Ketika mula berjinak-jinak dengan tanaman eksotik itu, bekalan pokok bromeliad agak sukar diperoleh terutama di Terengganu sehingga memaksanya mendapatkan stok dari Kelantan.

Katanya, pada peringkat awal, dia hanya membeli beberapa jenis bromeliad untuk koleksi peribadi sebelum minat itu berkembang menjadi lebih serius.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu orang kurang kenal bromeliad. Saya sendiri ambil masa untuk belajar mengenai jenis, penjagaan dan keunikan setiap genus.

“Sekarang peminat semakin ramai terutama sejak 2023 apabila masyarakat mula peka dengan keindahan bromeliad yang mempunyai corak belang dan warna menarik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini.

Menurut Ahmad Tarmizi, bromeliad kini menjadi antara tanaman hiasan eksotik yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar landskap dan kolektor di negara ini.

Katanya, keunikan warna daun seperti merah, kuning, hijau bercorak serta bentuk pokok yang simetri menjadikan bromeliad memiliki nilai estetika tersendiri.

“Kalau dulu orang lebih minat monstera atau keladi, sekarang ramai mula beralih kepada bromeliad kerana rupanya unik dan penjagaannya mudah,” katanya.

Ujarnya, terdapat ribuan spesies bromeliad yang berdaftar di seluruh dunia termasuk lebih 4,000 identiti (ID) bagi genus Neoregelia sahaja.

Antara genus bromeliad yang popular di Malaysia adalah Neoregelia, Billbergia, Hohenbergia, Tillandsia, Aechmea dan Vriesea.

Katanya, genus Neoregelia dan Aechmea antara yang paling mendapat permintaan dalam pasaran tempatan.

“Neoregelia digemari kerana bentuknya yang bulat, ringan serta mampu membesar sehingga mencecah setengah meter. Neoregelia sangat cantik kerana corak dan warnanya pelbagai. Sebab itu ramai peminat memburunya,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata, Hohenbergia pula kini semakin diminati peminat bromeliad kerana bentuknya yang tinggi dan unik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini