Azmin sedia sekali lagi berdepan Amirudin di Gombak

Azmin sedia sekali lagi berdepan Amirudin di Gombak

MOHAMED Azmin Ali ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersedia untuk sekali lagi berdepan dengan Datuk Seri Amirudin Shari di Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurut Azmin, beliau yakin dengan kemerosotan sokongan dihadapi oleh Naib Presiden PKR itu yang merupakan pe­nyandang di kawasan tersebut.

Jelasnya, khidmatnya sebelum ini sebagai ahli Parlimen selama empat penggal di kawasan itu dan empat penggal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa mampu memberi kelebihan kepadanya kali ini.

“Kalau tengok dari segi data, saya tewas kepada Amirudin pada PRU 2022, beliau mendapat lebih 12,000 majoriti. Saya reda dan faham ketika itu ba­nyak kekeliruan, fitnah terhadap saya tentang Langkah Shera­ton, saya ‘pengkhianat’, mesti ‘disula’.

“(Ketika itu) Saya bukan berdepan Amirudin, malah keseluruhan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah, Datuk Seri Mohamad Sabu, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli, Gobind Singh berkampung di Gombak untuk menjatuhkan saya atas tema saya ‘pengkhianat’. Saya terima.

“Tidak apa, mungkin waktu itu rakyat belum dapat maklumat tepat. Tetapi dari segi fakta, lapan bulan kemudian pada PRN Selangor, jumlah pengundi bagi DUN Hulu Klang, Sungai Tua dan Gombak Setia, majori­ti sokongan Amirudin tinggal 3,000 undi sahaja, hilang lebih 9,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Jelas Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Sela­ngor, berbanding Amirudin, beliau yakin mempunyai kekuatan tersendiri sebagai ‘orang lama’ di kawasan tersebut apabila lebih 50 tahun tinggal di Gombak dan membesar di sana sejak usia empat tahun.

“Saya mengenali hampir setiap lorong di kampung di Gombak dan khususnya di Hulu Klang. Jadi itulah medan saya. Kalah atau menang itu dalam politik dan sistem demokrasi, kita kena reda. Sekiranya saya diperlukan saya akan teruskan (bertanding) di Gombak,” ujar­nya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×