Kuda mini Falabella sukar membiak lahir di Rimba Razia

Kuda mini Falabella sukar membiak lahir di Rimba Razia

MOHD. Azraf Zakaria (tengah) membelai anak kuda mini baka Falabella yang baru dilahirkan di Zoo Rimba Razia, Hulu Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Kelahiran seekor anak kuda mini baka Falabella di Zoo Rimba Razia di sini, mencuri perhatian kerana disifatkan sebagai antara kejayaan pembiakan jarang berlaku di Malaysia.

Pengurus Zoo Rimba Razia, Mohd. Azraf Zakaria berkata, kelahiran tersebut sangat bermakna memandangkan baka kuda berasal dari Argentina itu sukar membiak dalam persekitaran iklim tempatan.

Katanya, Falabella ter­kenal sebagai kuda mini dengan saiz jauh lebih kecil berban­ding kuda padi, iaitu dengan berat hanya sekitar 40 hingga 60 kilo­gram berbanding kuda biasa yang boleh mencecah sehingga 300 kilogram seekor.

“Ketinggian maksimum Fa­labella pula hanya sekitar 90 sentimeter, iaitu hampir sama tinggi dengan kanak-kanak. Ia juga lebih pintar dan mudah dijinakkan berbanding kuda biasa, menjadikannya antara haiwan eksotik yang unik dan menarik perhatian pengunjung,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Mohd. Azraf, kebanyakan Falabella di Malaysia diimport dari luar negara seperti United Kingdom dan Argentina, namun kini penternak dari Australia dan Thailand turut menjadi pembekal utama baka tersebut.

“Falabella sukar membiak di Malaysia menyebabkan kita masih bergantung kepada import dari luar negara. Sebab itu kelahiran anak Falabella betina yang sihat di Rimba Razia dianggap jarang berlaku kerana sebelum ini hampir tiada kes pembiakan direkodkan di negara ini,” ujarnya.

Katanya, terdapat kes di zoo lain yang mana Falabella pernah bunting namun kebanyakannya mengalami keguguran atau anak mati ketika lahir berikutan faktor saiz induk yang kecil.

Beliau berkata, kejayaan melahirkan anak Falabella yang sihat di Rimba Razia adalah hasil usaha berterusan selepas haiwan tersebut dipelihara sejak lima tahun lalu, iaitu sebelum zoo itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai kira-kira tiga tahun lalu.

“Ketika ini, terdapat dua pasang Falabella di Rimba Razia dan kami berharap usaha pembiakan ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, harga pasaran seekor Falabella boleh mencecah antara RM30,000 hingga RM45,000, iaitu lebih tinggi berbanding kuda padi yang dijual sekitar RM6,000 hingga RM9,000 seekor.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×