Lantikan 18,702 guru, jangan `tangkap muat’ - Utusan Malaysia

Lantikan 18,702 guru, jangan `tangkap muat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman Kementerian Pendidikan untuk mengambil secara one-off 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 diharap memberi keutamaan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dan lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Pengisian jawatan tersebut juga tidak boleh dilakukan secara ‘tangkap muat’ demi menjamin kualiti pendidikan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA), Chonnel George berkata, buat masa ini terdapat seramai 4,390 graduan ISMP di seluruh negara belum mendapat tawaran bergelar guru sehingga ada antara mereka didakwa sanggup bekerja dalam bidang lain termasuk menjadi pengawal keselamatan.

Namun begitu, dengan pengambilan khas bermula 7 Julai ini, Kementerian Pendidikan dijangka menerima hampir 200,000 permohonan ekoran kadar pengangguran dalam kalangan mahasiswa mencapai 116,161 orang, iaitu bagi tempoh 2019 hingga tahun lalu.

Menurut George, jumlah 4,390 pemegang ISMP yang menunggu untuk diserapkan ke jawatan adalah data lepasan daripada 13 universiti awam (UA) seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Jumlah 4,390 itu adalah kali terakhir direkodkan pada Januari tahun lalu, ia tidak termasuk lepasan baharu dan mungkin bertambah kira-kira 1,000 hingga 2,000 graduan dengan jumlah lambakan ini paling ramai adalah dalam jurusan Sejarah dan Geografi,” kata beliau ketika dihubungi di sini semalam.

Bagi graduan lepasan IPG lazimnya tiada masalah kerana kumpulan tersebut terus mendapat tawaran mengajar selepas menamatkan pengajian.

Dalam sidang akhbar khas semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, iklan bagi pengambilan jawatan kekosongan guru itu akan dibuka pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat akan dilaksanakan bermula Oktober ini.

Menurut Mohd. Radzi, perkara itu dipersetujui bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan itu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang turut memohon agar graduan IPG dan ISMP diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan tersebut kerana mereka mempunyai kelayakan dari segi akademik berbanding graduan jurusan lain.

Menurut beliau, pemilihan graduan daripada IPG dan ISMP juga menjamin kualiti pendidikan kerana pengambilan guru untuk tempoh empat bulan adalah tempoh singkat dan tidak mahu dilakukan secara ‘tangkap muat’ demi mengisi kekurangan tenaga guru.

“Kekurangan guru seperti diumumkan Menteri Kanan Pendidikan adalah berdasarkan data di peringkat nasional. Mungkin selepas ini akan timbul cakap-cakap bahawa sekolah itu dan sekolah ini kekurangan bagi mata pelajaran yang tidak disebutkan menteri.

“Jika ada kekurangan, masalah ini boleh diatasi. Tetapi bagi pihak NUTP kita sambut baik langkah kerajaan demi menjamin kualiti sistem pendidikan apabila guru yang layak diberikan tugas mengajar dalam bidangnya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, proses pengambilan guru perlu dipermudahkan kerana sebelum ini terdapat penempatan mereka mengambil masa sehingga dua tahun.

Menurut beliau, situasi itu bukan sahaja berlaku melibatkan lepasan IPG malah juga di dalam kalangan graduan ISMP yang terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum memperoleh lokasi penempatan.

“Hal ini kerana selepas tamat pengajian, mereka perlu mengisi borang dan menjalani temu duga, kemudian perlu tunggu dan menanti untuk tempoh setahun, ada juga dua tahun sebelum ditempatkan di mana-mana sekolah di seluruh negara.

“Namun selepas mendengar pengumuman kementerian berkaitan pengambilan khas secara one-off bermula Julai ini dan penempatan secara berperingkat pada Oktober ini memberi kelegaan kepada graduan ijazah pendidikan dengan mereka tidak perlu menunggu lama sehingga bertahun-tahun,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×