PETALING JAYA: Keadaan ekonomi Malaysia menunjukkan tanda pemulihan yang sangat memberangsangkan apabila alat pengukur ekonomi, IPP MY36 Thermometer (MET), melonjak semula kepada 89.25 mata pada April 2026.
Peningkatan mendadak ini sekali gus meletakkan semula ekonomi negara ke dalam ‘zon kuat’ selepas mencatatkan bacaan terendah 52.75 mata pada bulan sebelumnya.
MET merupakan penunjuk ekonomi bulanan yang merumuskan trend data bagi melihat gambaran besar prestasi ekonomi negara.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Financial Advisers (IPPFA), Mohd. Sedek Jantan berkata, lonjakan ini dipacu oleh keadaan pasaran kewangan yang kembali stabil serta nilai mata wang ringgit yang semakin mengukuh.
“Pemulihan ini selari dengan normalisasi keadaan kewangan apabila pasaran saham kembali meningkat dan nilai ringgit mula stabil pada paras RM3.97 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Walau bagaimanapun, kita perlu melihat kenaikan ini dalam konteks yang betul kerana ia sebahagiannya dipengaruhi oleh prestasi bulan lalu yang sangat rendah dan bukannya didorong sepenuhnya oleh pengukuhan asas ekonomi secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Sedek, sektor perdagangan luar menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila nilai eksport melonjak kepada RM148.8 bilion, manakala lebihan dagangan melebar secara ketara kepada RM24.6 bilion.
Namun begitu, beliau berkata, aktiviti ekonomi di dalam negara dilihat sedikit perlahan apabila jumlah kelulusan pinjaman rumah dan kenderaan menurun kepada RM10.3 bilion.
“Penurunan ini menunjukkan pengguna kini lebih berhati-hati untuk berbelanja atau membuat pinjaman baharu, meskipun pasaran buruh kita kekal kukuh dengan kadar pengangguran yang rendah pada paras 2.9 peratus.
“Dalam keadaan pertumbuhan yang semakin tidak sekata ini, adalah penting bagi pelabur untuk terus fokus kepada syarikat tempatan yang mempunyai pendapatan stabil dan pengurusan kewangan yang teguh,” katanya.
Dalam masa sama, keadaan ekonomi negara kekal stabil dengan kadar inflasi yang terkawal pada paras 1.4 peratus, manakala Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 2.75 peratus bagi menyokong aktiviti ekonomi semasa. – UTUSAN











