PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyelaras harga lantai padi kepada antara RM2,000 hingga RM2,500 per tan metrik berikutan peningkatan kos pengeluaran operasi dan kemerosotan hasil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kadar itu dianggap realistik kerana harga lantai belian padi semasa adalah RM1,500 per tan metrik tidak lagi mampu membantu pesawah menampung kenaikan kos input.
Kenaikan harga lantai belian padi penting sebagai pendorong kepada pesawah, susulan tahap sara diri beras negara yang kekal sekitar 48 peratus, masih jauh daripada sasaran melebihi 75 peratus yang ditetapkan pada 2025.
Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Che Ani Mat Zain berkata, kenaikan hampir keseluruhan kos pengurusan dan pengeluaran ketika ini memberi tekanan besar kepada pesawah di seluruh negara.
Menurutnya, dari segi pendapatan, pesawah hanya mampu mencatat keuntungan sekitar RM400 hingga RM500 sekiranya harga lantai mencecah sekurang-kurangnya RM1,800 bagi setiap tan metrik.
“Jika harga jatuh di bawah paras itu, pesawah sebenarnya menanggung kerugian kerana kos pengeluaran tidak dapat ditampung
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan pesawah malah memberi kesan langsung kepada keselamatan makanan negara.
“Justeru, harga lantai yang realistik adalah sekitar RM2,000 hingga RM2,500 per metrik tan bagi menampung kos pengeluaran yang semakin meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Che Ani, sasaran kerajaan untuk mencapai tahap sara diri beras lebih 75 peratus pada tahun 2025 gagal dicapai memandangkan kadar pendapatan pesawah semasa hanya sekitar 48 peratus.
Jelasnya, hal ini juga disebabkan kemorosotan hasil padi secara ketara tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini.
“Di bawah Mada, ada kawasan mencatatkan penurunan sehingga 30 hingga 50 peratus.
“Jurang besar antara pencapaian semasa dan sasaran itu menjadikan usaha untuk meningkatkan tahap sara diri sebagai sesuatu yang hampir mustahil tanpa perubahan dasar yang menyeluruh,” ujarnya. –UTUSAN











