Israel kuasai 63 peratus Gaza

Israel kuasai 63 peratus Gaza

ISRAEL sedang memperluaskan penguasaan wilayah di Gaza daripada kira-kira 52 peratus kepada hampir 63 peratus sejak gencatan senjata 10 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Israel sedang memperluaskan penguasaannya wilayah di Gaza apabila kawasan yang dikawal rejim itu dianggarkan meningkat daripada kira-kira 52 peratus kepada hampir 63 peratus sejak gencatan senjata 10 Oktober lalu.

Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan MyCARE, Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin berkata, pertambahan itu berlaku selepas rejim Zionis didakwa menambah kira-kira 11 peratus lagi kawasan baharu daripada wilayah Gaza yang sebelum ini belum dikuasai.

Katanya, kawasan yang sudah dikuasai itu dikenali sebagai ‘wilayah kuning’ atau ‘Yellow Line’ yang menempatkan kubu tentera Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan kumpulan penjenayah bersenjata.

“Selepas gencatan senjata bermula pada 10 Oktober lalu, Gaza ditinggalkan dalam keadaan sekitar 48 peratus sahaja masih belum dirampas, manakala 52 peratus lagi sudah dijajah rejim Zionis,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Megat Aiman Hakim, sempadan wilayah kuning itu tidak kekal dan didakwa terus berubah apabila Israel menambah kawasan baharu daripada peta asal Gaza.

“Daripada 52 peratus itu, semalam kita dapat tahu rejim Zionis hampir menambah sekitar 11 peratus lagi kawasan baharu daripada Gaza yang belum dijajah.

“Ini menjadikan jumlah kawasan yang sedang dirampas rejim Zionis kemungkinan sekitar 63 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Gaza kini mengecil kepada 43 peratus berbanding peta asal, manakala lebih 50 peratus kawasan itu dikuasai kumpulan penjenayah bersenjata yang disokong Israel.

Megat Aiman Hakim berkata, kumpulan itu menyusup ke kawasan dikuasai pihak keselamatan Gaza untuk menyerang anggota al-Qassam dan pimpinan Hamas, selain mendapat perlindungan udara tentera Israel apabila tewas dalam pertempuran.

Perkembangan terbaharu itu sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa wilayah kuning yang pada awalnya dikaitkan dengan garis kawalan selepas gencatan senjata kini semakin melebar dan mengecilkan ruang hidup rakyat Palestin di Gaza.

Sementara itu, kata Megat Aiman Hakim, Lembaga Keamanan (Board of Peace) yang ditubuhkan bagi membantu pemulihan Gaza didakwa gagal membawa sebarang perubahan terhadap keamanan dan krisis kemanusiaan di wilayah itu selepas tiga bulan diwujudkan.

Katanya, lembaga yang dikaitkan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump itu tidak memberi kesan jelas terhadap usaha menghentikan penderitaan rakyat Gaza.

Menurut beliau, perkara itu tidak mengejutkan kerana Israel sendiri didakwa menjadi antara pihak yang terlibat dalam lembaga berkenaan.

“Kita digemparkan dengan satu lembaga keamanan yang ditubuhkan oleh Donald Trump, dikenali sebagai Lembaga Keamanan yang menggabungkan puluhan negara lain.

“Setiap negara yang mahu menyertai lembaga ini perlu membayar AS$1 bilion dan dana itu kononnya akan digunakan untuk membangunkan semula Gaza,” katanya.

Menurut Megat Aiman Hakim, selepas tiga bulan ditubuhkan, lembaga itu didakwa langsung tidak membantu keamanan di Gaza.

Beliau berkata, keadaan di Gaza masih tidak berubah apabila serangan, sekatan, kelaparan dan tekanan terhadap penduduk Palestin terus berlaku.

“Saya sebut banyak kali selama ini bahawa Lembaga Keamanan ini bukanlah lembaga keamanan, tetapi sebenarnya lembaga penjajahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×