Industri makanan negara perlu lebih berdaya tahan

Industri makanan negara perlu lebih berdaya tahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang semakin tidak menentu, persoalan sekuriti makanan bukan lagi sekadar isu dasar, tetapi persoalan kelangsungan negara. Malaysia kini berdepan dengan satu realiti baharu yang semakin kompleks apabila pelbagai krisis serentak mula memberi tekanan kepada sistem makanan negara.

Gabungan faktor global dan domestik seperti konflik geopolitik, musim panas berpanjangan, kenaikan harga diesel serta kelemahan struktur rantaian pengeluaran makanan telah mewujudkan tekanan besar terhadap kestabilan bekalan makanan dan kos sara hidup rakyat, khususnya golongan rentan.

Ini turut memberi kesan rantaian kepada kos logistik, pengangkutan dan pengeluaran makanan. Kesan ini akhirnya diterjemahkan kepada peningkatan harga makanan di pasaran domestik.

TANPA tindakan yang berani dan strategik, industri ini berisiko menjadi tidak relevan secara ekonomi dan negara akan terus bergantung kepada import makanan.

Keadaan ini menjadi lebih parah apabila rantaian pengeluaran makanan negara turut dibelenggu oleh pelbagai perkara yang mencakupi birokrasi yang tidak fleksibel, monopoli dalam pengagihan input pertanian, kelemahan komunikasi antara agensi serta kewujudan kartel yang mengawal harga dan bekalan.

Kelemahan ini telah menyebabkan ketidakcekapan dalam pengeluaran, pengagihan serta pemasaran makanan, sekali gus merencatkan produktiviti sektor pengeluaran makanan.

Lebih membimbangkan, Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan dengan defisit perdagangan agromakanan yang semakin melebar turut memberi ancaman kepada kedudukan sekuriti makanan negara.

Kebergantungan ini secara tidak langsung turut meningkatkan risiko ketidakstabilan harga makanan dalam negara.

Tambahan pula perangkaan bagi tahap sara diri (SSL) bagi beberapa komoditi utama seperti beras menunjukkan peratusan yang masih rendah, menjadikan negara mudah terdedah kepada sebarang gangguan rantaian bekalan global.

Jika keadaan ini berterusan, kebergantungan kepada import makanan akan meningkat dan menjejaskan kedaulatan makanan negara. Menjadi persoalannya, sejauh mana pembangunan fizikal wajar diteruskan jika ia mengorbankan keselamatan makanan negara?

Hakikatnya, cabaran sebenar adalah lebih mendalam apabila melihat kepada struktur industri makanan dalam negara. Penanaman padi sebagai contoh dilihat sebagai aktiviti yang tidak lagi berekonomik bagi sebahagian besar petani.

Kos input seperti baja, benih, racun dan upah jentera meningkat secara konsisten, tetapi harga lantai padi dan beras kekal relatif rendah dan tidak responsif kepada kos semasa.

Tambahan pula dengan krisis global yang dihadapi ini telah menyebabkan kos pengeluaran tanaman berkali ganda. Ketidakseimbangan ini menyebabkan margin keuntungan petani semakin mengecil, malah dalam banyak keadaan, hampir tidak memberi pulangan yang munasabah.

Dalam mengharungi situasi ini, golongan yang paling terkesan adalah golongan berpendapatan rendah (B40), khususnya petani berskala kecil.

Mereka bukan sahaja berhadapan dengan penurunan hasil pengeluaran akibat cuaca panas, tetapi juga terpaksa menanggung peningkatan kos input dan kos sara hidup.

Keadaan ini menyebabkan mereka terdedah kepada ketidakcukupan pendapatan, peningkatan hutang dan tekanan sosial yang berpanjangan.

Dalam menghadapi krisis berlapis ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif melalui pengenalan dan peningkatan bantuan serta insentif kepada sektor pertanian dan pengguna diesel.

Antara langkah utama termasuk peningkatan insentif pembajakan kepada pesawah daripada RM160 kepada RM300 sehektar, serta insentif penuaian padi sebanyak RM50 sehektar.

Langkah ini bertujuan mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung petani dan memastikan aktiviti penanaman dapat diteruskan.

Selain itu, bantuan tunai diesel di bawah inisiatif BUDI turut ditingkatkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi membantu pengguna diesel termasuk dalam sektor pertanian dan logistik.

Seramai 350,000 penerima dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ini, dengan tambahan peruntukan bulanan yang signifikan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup dan operasi.

Langkah-langkah ini mencerminkan pendekatan kerajaan yang bersifat responsif dalam menangani tekanan kos jangka pendek. Namun begitu, menjadi persoalan yang lebih kritikal ialah sejauh mana pendekatan ini mampu menyelesaikan isu struktur yang lebih mendalam dalam industri makanan.

Walaupun bantuan kewangan dapat meringankan beban sementara, namun ia tidak menyelesaikan isu asas seperti ketidakcekapan rantaian bekalan, kebergantungan kepada input import dan ketidakseimbangan harga antara kos pengeluaran dan harga jualan hasil.

Lantaran itu, tanpa reformasi struktur yang menyeluruh, industri ini akan terus berhadapan risiko kehilangan daya saing dan minat generasi baharu. Justeru, langkah jangka pendek ini perlu disokong dengan strategi jangka panjang yang lebih berani dan holistik.

Antaranya termasuk memperkukuh pengeluaran domestik melalui pembangunan kawasan luar jelapang, pelaburan dalam teknologi pertanian pintar, serta perlindungan tanah pertanian daripada penyusutan akibat pembangunan tidak terkawal.

Pewartaan tanah sawah sebagai zon keselamatan makanan mesti diperketatkan, manakala tanah terbiar perlu dioptimumkan melalui kerjasama strategik.

Struktur pengeluaran perlu beralih kepada model berskala besar seperti penubuhan konsortium bagi meningkatkan kecekapan dan penggunaan teknologi.

Pelaburan dalam pertanian pintar termasuk dron, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan sistem pengairan moden perlu dipercepatkan. Reformasi rantaian bekalan bagi meningkatkan ketelusan dan keadilan pasaran serta semakan harga lantai padi adalah kritikal.

Pengukuhan infrastruktur air dan pembangunan agropreneur muda turut menjadi pemacu utama kelestarian sektor ini. Kerajaan juga perlu menilai semula struktur harga padi agar lebih mencerminkan kos sebenar pengeluaran, sekali gus memastikan pulangan yang lebih adil kepada petani.

Tanpa strategi yang komprehensif, sektor padi akan terus dilihat sebagai tidak berekonomik dan berisiko ditinggalkan oleh generasi akan datang.

Jika diamati, pendekatan yang diambil oleh kerajaan melalui peningkatan bantuan dan insentif merupakan langkah penting dalam menangani kesan segera krisis global.

Namun, dalam dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, perubahan iklim dan tekanan ekonomi, Malaysia perlu melangkah lebih jauh dengan melakukan reformasi struktur yang menyeluruh.

Tanpa tindakan yang berani dan strategik, industri ini berisiko menjadi tidak relevan secara ekonomi, dan negara akan terus bergantung kepada import makanan.

Kini adalah masa untuk beralih daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan transformasi yang mampan dan berdaya tahan.

Hakikatnya sekuriti makanan bukan sekadar isu bekalan, tetapi soal kedaulatan negara.

Tanpa sistem dan rantaian makanan yang berdaya tahan, setiap krisis global akan terus memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya golongan rentan. Sudah tiba masa untuk bertindak secara strategik, bukan sekadar reaktif. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah Timbalan Dekan (Akademik & Pengantarabangsaan), Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×