Aku budak UMNO - Muhammad Akmal

Aku budak UMNO – Muhammad Akmal

MUHAMAD Akmal Saleh berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menafikan beliau merupakan ‘budak catur’ kepada mana-mana individu dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Katanya, beliau tidak berada di bawah pengaruh mana-mana pemimpin, sebaliknya berpegang teguh pada prinsip dan perjuangan parti.

“Saya bukan budak (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi, saya bukan budak (Datuk Seri) Mohamad Hasan dan saya bukan budak Khairy Jamaluddin.

“Tetapi saya adalah ‘ABU’ yang bermaksud ‘Aku Budak UMNO’,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Katanya, UMNO tidak berdepan perpecahan dalaman seperti kewujudan kumpulan atau ‘kem’ tertentu, sebaliknya kekal bersatu di bawah satu perjuangan.

“Ini yang menjadikan parti kita stabil. Kita tidak berpecah dan tidak ada kumpulan tertentu dalam parti,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Muhamad Akmal berkata, beliau berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas peluang yang diberikan kepada golongan muda.

“Sebelum ini kita sering bercakap tentang memberi ruang kepada orang muda, namun apabila tiba masanya, mereka disekat dengan alasan belum cukup pengalaman.

“Namun, kepimpinan hari ini benar-benar memberi ruang kepada golongan muda untuk ke hadapan.

“Presiden sendiri sentiasa memberi ruang dan tidak pernah menutup peluang kepada generasi muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×