KUALA LUMPUR: Pendirian 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah muktamad dan tidak akan berubah.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu diambil susulan hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin dalam mengemudi pentadbiran negeri.
Menurut beliau, UMNO Negeri Sembilan juga bersedia berperanan sebagai pembangkang di peringkat kerajaan negeri sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya diputuskan demikian.
Katanya, keputusan tersebut dibuat secara sebulat suara dan bukan didorong kepentingan politik, sebaliknya berasaskan tanggungjawab dalam memastikan pengurusan institusi adat serta pentadbiran negeri dilaksanakan dengan baik.
“Apabila sokongan telah ditarik namun kepimpinan masih diteruskan, ia menunjukkan bahawa kepercayaan telah hilang.
“Buat masa ini, UMNO bersedia menunggu keputusan selanjutnya, termasuk kemungkinan berperanan sebagai pembangkang sehingga pilihan raya akan datang.
“Soal pelantikan atau penggantian Menteri Besar bukan ditentukan oleh UMNO Negeri Sembilan, sebaliknya merupakan keputusan kepimpinan tertinggi melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada pemberita di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, isu tersebut bukan berkaitan individu atau politik semata-mata, tetapi melibatkan kegagalan menangani krisis yang berkaitan dengan institusi adat di Negeri Sembilan.
Katanya, UMNO perlu bertindak kerana krisis yang berlaku melibatkan isu adat serta kelemahan dalam pengurusan yang berpotensi menjejaskan reputasi kerajaan negeri dan kestabilan politik.
“Apabila krisis tersebut dibincangkan secara terbuka, pelbagai persepsi dan pandangan timbul dalam masyarakat termasuk dalam kalangan anak muda dan pelajar.
“Perkara ini berisiko menjejaskan kefahaman masyarakat serta reputasi institusi adat itu sendiri.
“Justeru, tindakan yang diambil adalah demi menjaga kestabilan dan memelihara kepentingan institusi tersebut,” katanya. – UTUSAN










