PETALING JAYA: Semua sukarelawan Global Sumud FlotillaGlobal Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini diculik tentera rejim di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece, dilaporkan selamat tiba di Turkiye.
Menerusi perkongsian di Facebook Rahmat Sumud Nusantara, pesawat yang membawa kesemua sukarelawan itu mendarat di Istanbul kira-kira pukul 3 pagi tadi.
“Alhamdulillah ayahanda Haji ZRA Strim dan 180 sukarelawan sudah selamat mendarat di Istanbul pukul 3 pagi selepas diculik IOF di perairan antarabangsa.
“Keputusan sama ada mereka akan meneruskan pelayaran atau pulang akan ditentukan oleh jawatankuasa pemandu (steering committee) Sumud Flotilla,” katanya.
Dalam pada itu, Rahmat berkata, dua lagi sukarelawan masih ditahan tentera rejim dan menggesa orang ramai terus menunjukkan solidariti terhadap semua sukarelawan terlibat.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai GSF 2.0 dan diculik di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete telah dibebaskan di Pelabuhan Lera Petra semalam.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, kesemua aktivis terbabit dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion menaiki bas yang disediakan pihak Greece.
Beliau berkata, Kerajaan Turkiye menyediakan pesawat berkapasiti 160 penumpang bagi membawa pulang 20 aktivis kemanusiaan warganya.
Katanya, kerajaan Turkiye turut mempelawa mana-mana aktivis GSF untuk menaiki penerbangan berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion kira-kira pukul 10.15 malam waktu Malaysia sebelum dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 11.45 malam waktu Malaysia. – UTUSAN










