Peminat filem boleh tahu kualiti tonton di pawagam berbanding Netflix - Liyana Jasmay - Utusan Malaysia

Peminat filem boleh tahu kualiti tonton di pawagam berbanding Netflix – Liyana Jasmay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay menggesa peminat seni tanah air agar tidak terlalu bergantung kepada platform penstriman digital untuk menonton filem sebaliknya tetap memilih untuk ke panggung.

Tegas Liyana, penonton tidak boleh selesa menunggu filem tempatan di Netflix memandangkan tidak semua penerbit bercadang menyiarkan filem mereka di platform berkenaan.

Bukan itu sahaja, pengarah filem Pemuja Syaitan itu yakin pengalaman menonton di layar lebar mempunyai kepuasan tidak boleh dialami di mana-mana platform penstriman.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Belum tentu lagi semua filem Melayu akan masuk ke Netflix. Ada banyak lagi filem yang tidak ditayangkan di situ, malah ada yang masuk ke aplikasi lain yang memerlukan bayaran tambahan.

“Bagi saya, penonton yang ke panggung sebenarnya mahu merasai debaran dan keterujaan dalam suasana yang berbeza. Menonton wayang ini adalah satu aktiviti riadah bersama keluarga, sama seperti kita keluar bersiar-siar,” katanya ketika ditemui semasa majlis tayangan Pemuja Syaitan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Liyana tidak menafikan faktor kekangan masa dan tanggungjawab harian menjadi punca sesetengah pihak memilih untuk menonton di rumah seperti golongan ibu yang mempunyai anak kecil.

“Kita tidak boleh marahkan mereka juga. Mungkin mereka ibu sepenuh masa yang perlu menjaga anak-anak yang masih kecil, jadi mereka memang tiada masa atau tidak mampu untuk keluar. Saya faham situasi itu.

“Namun secara keseluruhannya, rakyat Malaysia sebenarnya masih sangat suka menonton wayang. Peminat tegar filem biasanya tahu perbezaan kualiti dan kepuasan apabila menonton di skrin besar,” jelasnya lagi.

Tambah Liyana, dia turut bersedih tengah situasi yang dialami rakan penerbit dan pengarah naskhah Orang Perang apabila filem itu kurang mendapat sambutan di panggung.

“Saya kenal pengarahnya dan sudah tentu saya faham apa dilaluinya kerana situasi itu pernah saya lalui semasa menerbitkan filem pertama saya Bella & Jamie. Sangat berat perasaan apabila orang tidak datang tonton filem.

“Saya ada komen dan beri kata semangat kepada mereka. Saya juga yakin dia seorang yang akan berusaha untuk melakukan lebih lagi. Itulah perangai orang filem, memang pelik apa jadi sekalipun kita tetap akan buat karya lagi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini