UMNO perlu berhenti jual nostalgia, fokus masa depan - Tok Mat

UMNO perlu berhenti jual nostalgia, fokus masa depan – Tok Mat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO perlu berhenti menjual nostalgia, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda masa depan bagi mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap parti itu.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ulang tahun ke-80 parti itu bukanlah untuk mengenang perjalanan lalu, sebaliknya menjadi detik penting untuk merencana hala tuju baharu.

Katanya, UMNO mempunyai dua kekuatan utama untuk mendepani cabaran semasa iaitu pengalaman luas dalam mengurus krisis serta kesetiaan ahli yang sehingga kini terus kekal bersama parti.

“Bersandarkan kepada dua kekuatan ini, UMNO kini memberi fokus untuk merawat, memulih dan membangunkan semula parti.

“Selepas melalui fasa pemulihan yang panjang sejak 2018, UMNO kini kembali memainkan peranan penting dalam landskap politik negara,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Mohamad berkata, gagasan Rumah Bangsa yang diilhamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuka ruang lebih luas kepada orang Melayu untuk kembali bersama parti itu.

“Proses keahlian kini dipermudah melalui pendaftaran dalam talian, membolehkan orang ramai mendaftar dan memperoleh kad keahlian dengan lebih mudah berbanding sebelum ini.

“Peningkatan keahlian baharu, khususnya dalam kalangan anak muda, merupakan satu petanda yang positif terhadap masa depan parti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar UMNO tidak mudah leka memandangkan sokongan Melayu terhadap parti tersebut tidak lagi sekuat dahulu dan perlu melakukan pembaharuan secara berterusan serta tidak terikat dengan pendekatan lama termasuk dalam strategi pilihan raya.

“Cabaran masa depan lebih kompleks, termasuk bagaimana meningkatkan daya saing orang Melayu, memperkukuh kedudukan profesional di peringkat antarabangsa serta mengurus kesan globalisasi dan revolusi digital.

“Generasi hari ini merupakan generasi digital yang membesar dalam dunia tanpa sempadan. Maka, UMNO perlu mencari pendekatan baharu untuk menarik perhatian mereka terhadap perjuangan bangsa dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×