KPM pastikan keselamatan murid, guru guna jalan air terjamin

KPM pastikan keselamatan murid, guru guna jalan air terjamin

PEMAKAIAN jaket keselamatan menjadi ‘nyawa kedua’ bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Beluru, Sekolah Model Khas Komprehensif 11, Tumpat setiap kali meredah arus Sungai Kelantan untuk ke sekolah bagi menuntut ilmu. FOTO/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keselamatan murid, guru dan warga sekolah yang bergantung kepada pengangkutan air terus diberi keutamaan apabila Kementerian Pendidikan (KPM) memperluaskan pelaksanaan Ban­tuan Jaket Keselamatan (BJK) di seluruh negara.

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, setiap murid dari peringkat pra­sekolah hingga Tingkatan Enam serta guru warganegara Malaysia di sekolah kerajaan (SK) dan Sekolah

Bantuan Kerajaan (SBK) yang berulang-alik menggunakan laluan air layak menerima satu jaket keselamatan setiap seorang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pada tahun ini 11,299 warga sekolah menerima bantuan itu, iaitu 9,470 murid, 1,457 guru dan 372 Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.78 juta.

“Sebanyak 350 sekolah di seluruh negara dikenal pasti menggunakan pengangkutan air sebagai laluan utama ke sekolah, melibatkan sembilan negeri.

“Sarawak mencatatkan jum­lah tertinggi dengan 195 se­kolah, diikuti Sabah (72), Terengganu (35), Kelantan (16), Pahang (11), Perak (9), Johor (lima), Kedah (empat) dan Pulau Pinang (tiga),” katanya kepada Utusan Malaysia.

ADS:D

Jaket tersebut juga boleh di­ganti setiap dua tahun bagi memastikan tahap keselamatan sen­tiasa berada pada tahap optimum.

Kata beliau, jumlah penerima bantuan jaket keselamatan itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu iaitu seramai 5,465 penerima. Kata beliau, jumlah penerima bantuan jaket keselamatan itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu iaitu seramai 5,465 penerima.

“Insiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh aspek keselamatan pendidikan di kawasan berisiko,” katanya.

Aminuddin berkata, bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar, kerajaan memperuntukkan lebih RM1 juta pada tahun 2025 dan me­ningkat kepada hampir RM1.78 juta pada tahun ini.

Jelasnya, peruntukan itu akan disalurkan kepada Ja­batan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tujuan perolehan jaket keselamatan yang mematuhi spesifikasi ditetapkan sebelum diagihkan kepada sekolah dan seterusnya kepada murid serta guru yang layak.

Langkah proaktif ini bukan sahaja menjamin keselamatan warga sekolah, malah memberi ketenangan kepada ibu bapa, khususnya di kawasan pedalaman yang bergantung kepada laluan sungai sebagai nadi utama perhubungan harian.

Sementara itu di Tumpat, Kelantan, bagi pelajar yang tinggal di gugusan kepulauan di daerah ini, perjalanan ke sekolah bukan sekadar rutin hari­an, sebaliknya satu perjalanan yang menuntut disiplin tinggi terhadap aspek keselamatan.

Menggunakan bot sebagai pe­ngangkutan utama, pe­ma­kai­an jaket keselamatan menjadi ‘nyawa kedua’ setiap kali mereka meredah arus Su­ngai Kelantan untuk ke sekolah bagi menuntut ilmu.

Seorang bapa, Fadhir Salleh, 51, dari Pulau Tokang berkata, walaupun kehidupan dikelili­ngi sungai sudah menjadi ke­biasaan, aspek keselamatan anak-anak tidak pernah dipandang ringan.

“Saya sendiri hantar anak ke sekolah setiap hari dengan bot, tetapi perkara wajib ialah mereka mesti pakai jaket ke-selamatan.

“Paling berisiko ketika mu­sim tengkujuh apabila arus menjadi deras. Jaket keselamatan memang sentiasa tersedia dalam bot,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Emy Alia Umat@ Ibrahim, 30, turut menegaskan soal ke­selamatan anak-anak menjadi keutamaan utama memandang­kan mereka perlu meredah arus sungai setiap hari.

Katanya, perjalanan sejauh kira-kira 15 minit dari Pulau Tokang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Beluru, Sekolah Model Khas Komprehensif 11, bukan sesuatu yang boleh dipandang mudah.

“Waktu pagi suasana masih gelap kerana kawasan dikelilingi air, ditambah pula laluan sungai sibuk dengan bot penduduk yang keluar bekerja dan menghantar anak ke sekolah.

“Pelbagai kemungkinan bo­­leh berlaku, sebab itu saya pas­­tikan anak-anak sentiasa me­makai jaket keselamatan,” ujarnya.

Menurutnya, hanya Pulau Tokang, Pulau Cendol dan Pulau Timun yang terpisah sepenuhnya dari daratan untuk ke sekolah tersebut, manakala pulau lain mempunyai laluan darat yang menghubungkan penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN