Buktikan demokrasi tidak mati - Utusan Malaysia

Buktikan demokrasi tidak mati

WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak boleh berlengah lagi untuk membuka persidangan Parlimen sebagai bukti sistem demokrasi ‘tidak mati’ di Malaysia.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, kerajaan perlu menghormati nasihat Yang di-Pertuan Agong­ sebagai Ketua Negara berhubung perkara itu.

“Tidak perlu lagi untuk berdolak-dalik atau cuba memberi apa-apa tafsiran yang lain,” katanya di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, ketiga-tiga cabang pemerintahan di negara ini iaitu legislatif, eksekutif dan kehakiman adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong­ dan kuasa baginda untuk membubarkan Parlimen.

Katanya, kuasa baginda juga melantik Perdana, selain turut memberi perkenaan melantik semua anggota Jemaah Menteri.

“Umum mengetahui bahawa dalam menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan, dalam keadaan biasa Agong­ bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan.

“Tetapi dalam pentadbiran di bawah proklamasi Darurat, kuasa tertumpu kepada Agong selaku kuasa tertinggi yang mengisytiharkan darurat. Setiap Ordinan Darurat yang dikeluarkan adalah atas nama baginda,” katanya.

Justeru, kata beliau, dalam konteks Perlembagaan dan pemerintahan demokrasi Berparlimen, di tambah lagi di bawah kuasa darurat, adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk melaksanakan panda­ngan yang dizahirkan Agong.

Selain itu, Wan Ahmad berkata, langkah penggantungan Parlimen juga dianggap sebagai mencalarkan imej positif negara di peringkat antarabangsa terutama para pelabur dalam dan luar negara berhubung kedudukan politik di negara ini.

“Parlimen adalah satu-sa­tunya saluran suara rakyat selepas pilihan raya, melalui wakil-wakil mereka di Dewan Rakyat. Prinsip semak dan imbang serta akauntabiliti hendaklah menjadi keutamaan dan wajib dalam proses demokrasi berperwakilan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×