Sibuk buat kandungan, ibadah haji terabai

Sibuk buat kandungan, ibadah haji terabai

JEMAAH Malaysia yang menginap di Hotel Al-Tayser, Mekah bergerak untuk menunaikan ibadah umrah di Masjidil Haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah haji diingatkan tidak terlalu ghairah menghasilkan kandungan media sosial di tanah suci hingga mengabaikan tujuan utama ibadah.

Peringatan itu susulan trend jemaah yang lebih memberi tumpuan kepada rakaman video dan gambar untuk media sosial berbanding penghayatan ibadah haji.

Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tabung Haji (TH), Shahrin Awaluddin berkata, jemaah haji khususnya generasi muda tidak wajar mensia-siakan peluang berharga menunaikan ibadah haji yang wajib sekali seumur hidup apabila leka dengan media sosial.

Katanya, pertambahan dalam kalangan anak muda menunaikan fardu haji adalah satu perkara positif, namun setiap jemaah perlu memahami tujuan pelaksanaan haji.

“Media sosial bukan tidak penting, tetapi jangan berlebihan hingga menyebabkan lalai ketika melaksanakan ibadah.

“Gunakanlah teknologi secara berpada-pada dan utamakan ibadah sepanjang berada di Mekah dan Madinah.

“Setiap tahun kita menasihatkan perkara ini kerana apabila berada di tanah suci, jemaah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada ibadah haji dan bukan melaksanakannya secara sambil lewa,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, pelaksanaan ibadah haji bukan bertujuan mengejar gelaran haji dan sekadar melengkapkan rukun, sebaliknya perjalanan terakhir bagi mengubah diri daripada kurang baik kepada lebih baik.

Beliau berkata, setiap amalan dilakukan di tanah suci merupakan saat penting untuk mendekatkan diri kepada Allah dan memperbaiki hubungan spiritual seorang Muslim.

Katanya, antara ibadah yang memerlukan tumpuan penuh ialah tawaf, saie dan melontar jamrah kerana ia menuntut kehadiran fizikal, mental serta penghayatan rohani.

Tambah beliau, jemaah disaran memanfaatkan peluang menunaikan dengan memperbanyakkan doa, zikir dan ibadah agar pengalaman berada di Tanah Suci memberi kesan dalam kehidupan mereka selepas pulang ke tanah air – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×