KUALA LUMPUR: Cabaran aset usang yang dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada masa ini menjejaskan keupayaan tempur dan sistem penyelenggaraan maritim negara.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata, ia sekali gus memberi impak kepada kesiapsiagaan operasi maritim negara.
Katanya, situasi tersebut memerlukan perhatian serius bagi memastikan keupayaan armada kekal relevan dan berkesan.
“Peningkatan kos penyelenggaraan akibat aset lama turut memberi kesan kepada perancangan operasi serta penggunaan sumber secara optimum dalam pelaksanaan tugas harian.
*TLDM sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani cabaran tersebut termasuk memperkukuh perancangan strategik dan pelaksanaan program transformasi angkatan laut,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Timbalan Panglima Tentera Laut yang dibacakan oleh Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhammad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak, hari ini.
Tambah Badaruddin, Pelan Transformasi TLDM 15to5 menjadi antara fokus utama dalam usaha memodenkan armada serta memastikan keseimbangan keupayaan operasi pada masa hadapan.
Katanya, pelaksanaan pelan tersebut melibatkan perolehan aset baharu yang lebih canggih dan berupaya memenuhi keperluan operasi daripada tahap keselamatan maritim hingga peperangan.
“Empat teras utama yang digariskan akan terus dilaksanakan secara menyeluruh bagi menghadapi cabaran semasa.
“Teras itu merangkumi kesiapsiagaan armada, pelaksanaan Pelan Transformasi TLDM 15to5, pengukuhan integrasi antara angkatan, serta pemerkasaan pengurusan sumber manusia.
“Faktor geopolitik global yang semakin kompleks menuntut TLDM sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan perairan negara, justeru kerjasama strategik dengan agensi dan rakan serantau akan terus diperkukuh bagi mempertingkatkan keupayaan pertahanan maritim negara,” katanya. – UTUSAN










