PETALING JAYA: Laporan tahunan serta pendedahan prestasi secara terbuka perlu dijadikan amalan standard bagi memastikan pembayar zakat dan masyarakat umum dapat mengetahui dengan jelas bagaimana dana zakat diurus dan diagihkan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas mendesak beberapa langkah ke hadapan diambil, termasuk siasatan menyeluruh dan bebas dijalankan segera dan semua pihak terbabit hendaklah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, proses tadbir urus, kelulusan serta aliran dana hendaklah diperincikan secara telus dalam batas proses perundangan sah yang sedang berjalan.
Tambah beliau, satu audit forensik juga perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan, menentukan tanggungjawab serta mengesyorkan langkah pembetulan yang tepat dan berkesan.
“Reformasi institusi lebih luas mesti dijalankan bagi memperkukuh pengurusan dana zakat, termasuk sistem pematuhan lebih ketat, struktur tadbir urus lebih jelas serta pemantauan berkala yang tegas dan teliti.
“Laporan tahunan serta pendedahan prestasi terbuka hendaklah dijadikan amalan standard supaya pembayar zakat dan masyarakat luas mengetahui secara pasti bagaimana dana zakat diurus dan diagihkan.
“PAS percaya isu ini tidak wajar dipolitikkan, namun ia juga tidak boleh “disapu ke bawah karpet”. Masyarakat awam berkehendakkan akauntabiliti, sementara Islam pula menuntut tahap amanah yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kontroversi pengurusan dana zakat di Perlis yang kini mencetuskan kebimbangan meluas dalam kalangan masyarakat serta mendapat perhatian di peringkat nasional.
Menurut Takiyuddin, berdasarkan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa pihak termasuk Pejabat Mufti Negeri, MAIPs dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), wujud percanggahan serta kekeliruan dari segi bidang kuasa, penguatkuasaan undang-undang dan aspek akauntabiliti institusi.
“Zakat adalah amanah suci yang merupakan tanggungjawab pembayar yang diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk diurus dengan penuh integriti, ketelusan dan keadilan demi manfaat golongan asnaf serta mereka yang benar-benar memerlukan.
“Sebarang dakwaan penyelewengan, salah urus atau kelemahan tadbir urus, sama ada melibatkan agensi rasmi negeri atau individu dan pihak ketiga, mestilah ditangani dengan penuh kesegeraan, kejujuran dan kesungguhan tanpa pilih kasih atau rasa takut.
“Kontroversi ini pada asasnya adalah isu tadbir urus dan integriti. Persoalan berhubung pengurusan dana zakat menuntut penjelasan yang meyakinkan serta akauntabiliti yang sewajarnya, termasuk di pihak kerajaan negeri,” katanya.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, perkara itu juga menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan struktur dan sistem yang berkait rapat dengan isu-isu tafsiran, kelulusan, pemantauan dan pengagihan dana zakat.
“Oleh sebab ia melibatkan dana awam, lebih-lebih lagi dana keagamaan yang besar jumlahnya, maka kawalan dalaman mestilah sentiasa kukuh dan tidak boleh dipertikai sama sekali,” katanya.-UTUSAN











