Terbang ke Singapura, Hat Yai sebelum masuk Malaysia secara haram

Terbang ke Singapura, Hat Yai sebelum masuk Malaysia secara haram

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terbang ke Singapura dan kemudian Hat Yai, Thailand sebelum memasuki Malaysia melalui laluan haram di Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan.

Itu modus operandi terbaharu sindiket penyeludupan migran Indonesia menggunakan laluan perjalanan berlapis serta cap kemasukan palsu yang ditumpaskan dalam operasi khas, semalam.

Mereka dipercayai membayar antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang kepada sindiket untuk memasuki negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dijalankan Bahagian Pencegahan Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Anti-Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Terminal Bersepadu Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Katanya, ia membawa kepada penahanan 10 warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia antara 27 hingga 60 tahun.

“Sindiket ini telah mengubah modus operandi daripada menggunakan laluan laut di perairan Selangor kepada pendekatan yang lebih kompleks iaitu melalui laluan udara dan darat secara berlapis.

“Migran dipercayai bergerak dari Indonesia ke Singapura sebelum diterbangkan ke Hat Yai dan ditempatkan di rumah transit, sebelum diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan haram di Bukit Bunga.

“Sindiket ini juga mengelak daripada menggunakan penerbangan terus ke Malaysia, kerana dipercayai kebanyakan migran terlibat telah disenarai hitam daripada memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, sindiket dipercayai dikendalikan dalang utama dari Indonesia dan mempunyai rangkaian ejen perantara yang beroperasi secara berasingan di Hat Yai.

“Rangkaian ini beroperasi secara berlapis dengan pembahagian tugas yang khusus untuk memutuskan rantaian maklumat antara migran dan ahli sindiket bagi menyukarkan pengesanan,” katanya.

Katanya, Jabatan Imigresen sedang mengesan penglibatan warga tempatan yang dipercayai bersekongkol termasuk membantu dalam urusan pembelian tiket bas dan penyelarasan logistik perjalanan.

Kesemua individu yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi membantu siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 serta Akta Imigresen 1959.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini