SHAH ALAM: Polis mengesahkan penahanan individu dikenali Imran Koyube semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek sedang direman empat hari sehingga 28 April ini untuk membantu siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri.
“Lelaki ini juga ada beberapa kes di beberapa kontinjen negeri lain dan kami Polis Selangor akan berkolaborasi dengan kontinjen terbabit.
“Di Selangor, ada satu kes yang kami terima dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Larian Diraja Selangor Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Elmina Lake Side Mall di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang wanita mendakwa identitinya digunakan untuk urusan hutang oleh suspek yang juga merupakan bekas suaminya tanpa pengetahuan.
Kes penipuan melibatkan suspek turut mendapat perhatian selepas tular di media sosial.
Suspek didakwa pernah terlibat dalam kegiatan penipuan sebelum ini dan kembali aktif menggunakan identiti dan nama agensi berbeza.
Shazeli berkata, jumlah kerugian dan modus operandi tidak dapat didedahkan memandangkan masih dalam siasatan.
Beliau berharap masyarakat memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan.-UTUSAN










