DI saat kanak-kanak lain membesar dalam suasana penuh ceria, masih ada antara golongan kecil itu yang terpaksa melalui pengalaman perit sebagai mangsa penderaan sehingga meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan mereka.
Setiap kali kes penderaan didedahkan kepada umum, ia menimbulkan kebimbangan besar tentang sejauh mana keselamatan kanak-kanak benar-benar terjamin dalam kehidupan seharian mereka.
Golongan ini sepatutnya membesar dalam persekitaran yang penuh kasih sayang, perhatian dan perlindungan. Namun realitinya, masih ada kanak-kanak yang menjadi mangsa kekerasan atau pengabaian oleh individu yang sepatutnya melindungi mereka.
Kanak-kanak merupakan golongan paling rapuh dalam masyarakat kerana mereka masih berada dalam fasa perkembangan fizikal, emosi dan mental.
Pada usia yang masih muda, mereka bergantung sepenuhnya kepada golongan dewasa untuk mendapatkan perlindungan serta bimbingan dalam menjalani kehidupan.
Apa sahaja yang dialami oleh kanak-kanak pada peringkat awal kehidupan boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan mereka.
Justeru itu, setiap bentuk penderaan sama ada fizikal, emosi, seksual mahupun pengabaian tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya mampu mempengaruhi masa hadapan mangsa.
Dalam pelbagai situasi, penderaan kanak-kanak berlaku secara senyap tanpa disedari oleh orang sekeliling. Mangsa mungkin tidak berani bersuara kerana takut, terancam atau tidak memahami bahawa apa yang dialami sebenarnya merupakan satu bentuk penderaan.
Keadaan ini menyebabkan banyak kes hanya diketahui selepas ia mencapai tahap yang lebih serius.
Lebih membimbangkan apabila penderaan berlaku dalam persekitaran yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi kanak-kanak seperti rumah, pusat asuhan atau institusi pendidikan awal kanak-kanak.
Kesan penderaan terhadap kanak-kanak bukan sahaja dapat dilihat melalui kecederaan fizikal, malah turut memberi impak besar kepada kesihatan mental mereka. Trauma yang dialami boleh mempengaruhi emosi, keyakinan diri serta cara mereka berinteraksi dengan orang lain.
Dalam jangka panjang, pengalaman tersebut berpotensi menjejaskan pembentukan personaliti dan kestabilan emosi mangsa. Tanpa bantuan serta sokongan sewajarnya, kesan psikologi akibat penderaan boleh berlanjutan sehingga dewasa.
Statistik yang dilaporkan ketika ini turut menunjukkan isu penderaan kanak-kanak masih berada pada tahap yang membimbangkan.
Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 1,575 kes penderaan kanak-kanak merangkumi penderaan fizikal, seksual dan emosi bagi tempoh Oktober hingga Disember tahun lalu.
Angka tersebut jelas menggambarkan masalah ini memerlukan perhatian serius daripada semua pihak kerana kesannya bukan sahaja melibatkan mangsa, malah turut menjejaskan kesejahteraan sosial masyarakat secara keseluruhan.
Menurut Pengarah Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulfikar Ahmad, penderaan kanak-kanak boleh berlaku di pelbagai lokasi termasuk di tempat yang lazimnya dianggap sebagai persekitaran paling selamat bagi mereka.
Katanya, rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan kepada kanak-kanak kadangkala bertukar menjadi lokasi berlakunya penderaan fizikal atau pengabaian emosi akibat tekanan, konflik keluarga atau kekurangan kesedaran tentang cara mendidik anak secara sihat.
“Apabila individu yang sepatutnya melindungi mereka menjadi punca kepada penderaan, kesan yang dialami bukan sahaja dari sudut fizikal, malah memberi impak besar kepada perkembangan emosi dan psikologi mereka.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana kanak-kanak bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk mendapatkan perlindungan,” katanya.
Selain rumah, beliau berkata, institusi pendidikan awal kanak-kanak seperti taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) juga tidak terlepas daripada risiko penderaan sekiranya wujud kecuaian atau kekurangan pengawasan.
Katanya, individu yang diberikan tanggungjawab menjaga kanak-kanak sepatutnya memastikan keselamatan serta kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara.
“Dalam sesetengah kes, penderaan berlaku akibat kecuaian atau kegagalan memantau tingkah laku kanak-kanak dengan baik. Justeru, pengusaha pusat asuhan dan tenaga pengajar perlu mempunyai tahap profesionalisme serta kesedaran yang tinggi tentang tanggungjawab mereka.
“Selain itu, penderaan tidak semestinya berlaku dalam ruang tertutup semata-mata, malah boleh berlaku di tempat awam seperti taman permainan, pusat membeli-belah atau dalam pengangkutan awam sekiranya berlaku kecuaian dalam pengawasan kanak-kanak.
“Dalam keadaan tertentu, kanak-kanak boleh terdedah kepada kekasaran atau gangguan daripada individu lain apabila mereka tidak diawasi dengan baik. Oleh itu, masyarakat juga perlu mempunyai tahap kepekaan yang tinggi terhadap keselamatan kanak-kanak di sekeliling mereka,” katanya.

GANGGU EMOSI
Mengulas kesan trauma terhadap mangsa, Zulfikar berkata, penderaan boleh menjejaskan kestabilan emosi kanak-kanak sekali gus mempengaruhi perkembangan psikologi serta pembentukan personaliti mereka.
Katanya, mangsa mungkin mengalami perasaan takut, rendah diri, tidak mudah mempercayai orang lain serta menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial.
“Trauma yang dialami oleh mangsa penderaan boleh mempengaruhi cara mereka melihat diri sendiri dan dunia di sekeliling. Sekiranya tidak ditangani dengan baik, kesan tersebut boleh berlarutan sehingga mereka dewasa.
“Justeru, proses pemulihan mangsa memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk bantuan profesional melalui terapi dan kaunseling. Psikoterapi dapat membantu mangsa memahami serta mengurus emosi yang dialami selain membina semula keyakinan diri secara berperingkat.
“Selain rawatan profesional, sokongan daripada keluarga dan persekitaran yang memahami juga sangat penting. Kanak-kanak yang melalui pengalaman trauma memerlukan ruang yang selamat untuk meluahkan perasaan tanpa rasa takut atau dihakimi,” katanya.
Secara keseluruhannya, usaha menangani isu penderaan kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, institusi pendidikan, keluarga serta masyarakat.
Penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap pelaku penderaan perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka dikenakan tindakan yang setimpal.
Pada masa sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan lebih aktif dalam melaporkan sebarang tanda penderaan yang dikesan.
Kesedaran awam melalui pendidikan dan kempen berterusan amat penting bagi membantu orang ramai mengenal pasti tanda-tanda awal penderaan.
Sikap prihatin terhadap kesejahteraan kanak-kanak di sekeliling kita mampu menjadi langkah awal dalam mencegah tragedi yang lebih buruk.
Usaha memerangi penderaan kanak-kanak memerlukan komitmen bersama daripada semua pihak. Setiap kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran selamat, dilindungi dan dihargai kerana mereka merupakan generasi yang akan mencorakkan masa hadapan negara.-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










