KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi di sini menambah hukuman penjara tiga hari kepada tiga bulan terhadap pemandu e-hailing yang memandu kereta secara melawan arus di Jalan Klang Lama, dua minggu lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan Wong Kok Kong, 32, menjalani hukuman tambahan itu bermula hari ini.
“Hukuman-hukuman lain di Mahkamah Majistret dikekalkan iaitu denda RM6,000 dan lesen dibatalkan selama lima tahun,” kata hakim itu.
Pada 6 April lalu, Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan mengenakan hukuman penjara tiga hari dan denda RM6,000 terhadap Kok Kong serta memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Mahkamah juga memerintahkan agar lesen memandu lelaki itu digantung selama lima tahun.
Mengikut pertuduhan, Kok Kong didakwa memandu Proton Saga berwarna putih dengan cara melulu dan merbahaya kepada pengguna jalan raya lain di Jalan Klang Lama, di sini, pada pukul 9.44 pagi, 5 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.
Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Nordin Ismail memohon hukuman berat terhadap Kok Kong supaya dapat memberi pengajaran kepada orang awam untuk menghormati undang-undang jalan raya.
“Saya percaya hukuman penjara tiga hari adalah tidak mencukupi dan saya memohon hukuman ini ditambah supaya masyarakat sedar dan menghormati undang-undang ketika memandu di kawasan yang sibuk,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, K.Gejalaxmi yang mewakili tertuduh berkata, hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret adalah seimbang dan adil memandangkan pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah.
“Anak guam saya telah selesai menjalani hukuman penjara selama tiga hari dan telah membayar denda. Tempoh penjara lebih lama akan memudaratkannya kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara bapanya yang sakit.
“Pada masa kejadian, dia bergantung kepada navigasi e-hailing dan sedang dalam perjalanan untuk mengambil seorang penumpang berhampiran sebuah pusat beli-belah,” katanya.
Gejalaxmi berkata, anak guamnya ketika itu, runsing memikirkan bapanya yang menghidap kanser paru-paru serta bimbang akan kehilangan rumah sewa mereka.
“Dia telah tersalah jalan dan menyedari sedang memandu secara melawan arus, namun cubaan untuk membuat pusingan U boleh mengundang risiko besar.
“Dia panik dan keluar dari jalan tersebut secepat mungkin sebaik menyedari kesilapan itu. Jaraknya hanya sekitar 20 hingga 30 meter,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Aslam mempertikaikan jarak tersebut kerana berdasarkan fakta, Kong Kok telah memandu sejauh kira-kira 500 meter.
“Jalan itu mempunyai empat lorong. Dia sebenarnya boleh berhenti di tepi dan membuat pusingan. Dia bernasib baik kerana tiada kemalangan berlaku dan tiada sesiapa cedera.
“Dia dengan mudah boleh berhenti, menghidupkan lampu kecemasan dan bergerak ke tepi jalan, tetapi dia tidak berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN










