WASHINGTON: Presiden Donald Trump memberitahu Bloomberg News bahawa adalah sangat tidak mungkin beliau akan melanjutkan gencatan senjata dua minggu itu yang menurutnya akan tamat pada Rabu malam waktu timur Amerika Syarikat (AS).
Beliau secara berasingan memberitahu PBS News bahawa jika gencatan senjata itu berakhir tanpa perjanjian damai, maka banyak bom akan mula meletup.
Apabila ditanya sama ada Iran akan menghadiri rundingan yang sepatutnya diadakan pada Isnin di Islamabad, Pakistan selepas perang bermula pada 28 Februari lalu, Trump berkata beliau tidak tahu.
“Mereka sepatutnya berada di sana. Kami telah bersetuju untuk berada di sana,” katanya.
Walaupun terdapat ketidakpastian, keselamatan di Islamabad telah diperketat dengan penutupan jalan dan sekatan trafik di seluruh ibu negara Pakistan itu.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei pada Isnin berkata: “Kami tidak mempunyai rancangan untuk pusingan rundingan seterusnya dan tiada keputusan dibuat mengenai perkara ini..
Rumah Putih berkata, Naib Presiden AS, JD Vance akan mengetuai delegasi tersebut, selepas Trump menyatakan bahawa beliau tidak akan hadir atas alasan keselamatan.
“Hanya kerana keselamatan. JD sangat hebat,” kata Trump kepada ABC News.
Vance akan mengetuai delegasi AS untuk rundingan dengan Iran di Pakistan, kata seorang pegawai Rumah Putih pada Ahad.
Terdahulu, Trump mengumumkan bahawa beliau akan menghantar perunding ke Islamabad untuk mesyuarat dengan Teheran mengenai usaha menamatkan konflik yang telah berlarutan di Asia Barat, ketika gencatan senjata dijangka tamat tidak lama lagi.
Vance, Utusan Khas, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner akan menghadiri rundingan itu, kata seorang pegawai Rumah Putih kepada AFP dengan syarat identitinya dirahsiakan.
Ketiga-tiga mereka juga hadir dalam pusingan rundingan pada 11–12 April lalu.
Trump sebelum itu menuduh Iran melakukan pelanggaran sepenuhnya terhadap gencatan senjata dua minggu antara kedua-dua negara berikutan serangan pada Sabtu di Selat Hormuz dan mengugut untuk memusnahkan loji kuasa serta jambatan Iran jika tiada perjanjian dicapai.
Trump berkata di platform Truth Social bahawa beliau menawarkan Iran perjanjian yang munasabah dan jika Teheran menolak, Amerika akan memusnahkan setiap loji kuasa dan setiap jambatan di Iran.
“Mereka (Iran) akan runtuh dengan cepat, mereka akan runtuh dengan mudah dan jika mereka tidak menerima perjanjian itu, adalah satu penghormatan bagi saya untuk melakukan apa yang perlu dilakukan, yang sepatutnya telah dilakukan terhadap Iran oleh presiden-presiden lain sejak 47 tahun lalu,” tulisnya.
Wakil AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz, memberitahu ABC News bahawa beliau percaya pusingan rundingan baharu itu akan membawa hasil yang sangat besar impaknya.
Selat Hormuz kekal ditutup pada Ahad ketika ketegangan berterusan. Iran pada Sabtu mengisytiharkan laluan itu ditutup semula kepada kapal, sehari selepas berkata, ia akan membuka semula laluan strategik tersebut.
Agensi keselamatan maritim United Kingdom (UK) berkata, Pengawal Revolusi Iran telah melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal tangki pada Sabtu, manakala firma risikan keselamatan Vanguard Tech melaporkan bahawa pasukan itu telah mengugut untuk memusnahkan sebuah kapal persiaran kosong yang sedang berundur dari Teluk.
Dalam insiden ketiga, agensi UK itu berkata, ia menerima laporan bahawa sebuah kapal telah dilanggar oleh projektil tidak diketahui, menyebabkan kerosakan pada kontena perkapalan tetapi tiada kebakaran berlaku. – AFP










