SELEPAS kejayaan misi Artemis II menyelesaikan penerbangan bersejarah minggu lalu, Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kini bergantung kepada hartawan, Jeff Bezos dan Elon Musk untuk langkah seterusnya mendaratkan angkasawan di permukaan bulan.
Program Apollo yang menghantar manusia pertama dan satu-satunya ke permukaan bulan antara tahun 1969 hingga 1972, direka supaya hanya dua angkasawan boleh mendarat dalam tempoh maksimum beberapa hari.

Namun selepas 50 tahun, aspirasi dan kepakaran Amerika Syarikat (AS) terus berkembang, dengan NASA kini menyasarkan menghantar empat angkasawan dalam misi yang bakal berlangsung selama beberapa minggu.
MISI ARTEMIS II
Artemis II ialah misi berawak pertama dalam program NASA yang bertujuan mewujudkan kehadiran berterusan di bulan, termasuk pembinaan pangkalan yang akhirnya boleh digunakan untuk penerokaan lanjut ke Marikh.
Perjalanan itu mengambil masa sembilan hari, satu jam 31 minit dan 35 saat bermula dengan pelancaran dramatik dari Florida pada 1 April, dipenuhi dengan pelbagai rekod, pencapaian pertama serta detik luar biasa.
Keempat-empat angkasawan itu, Christina Koch, Victor Glover, Jeremy Hansen dan Reid Wiseman menjadi manusia yang paling jauh pernah bergerak dari bumi, merekodkan jarak 406,771 kilometer (km).
Beberapa pencapaian menambah lagi nilai sejarah misi ini dengan Glover menjadi individu bukan kulit putih pertama yang mengelilingi bulan, Koch sebagai wanita pertama sementara Hansen dari Kanada merupakan angkasawan bukan rakyat AS pertama menyertainya.
Ketika meluncur laju di angkasa lepas dan mengelilingi bulan, para angkasawan Artemis II mengambil ribuan gambar, menghasilkan koleksi foto yang menakjubkan.
Mereka juga menyaksikan gerhana matahari, bumi terbenam serta hentaman meteorit yang luar biasa di permukaan bulan.
Para angkasawan itu terbang di belakang bahagian jauh bulan pada altitud yang belum pernah dicapai sebelum ini, iaitu sekitar 6,437 km, membolehkan manusia melihat dengan mata sendiri kawasan bulan yang sebelum ini hanya dirakam oleh robot.
Pendahulu mereka dalam program Apollo hanya terbang kurang daripada 161 km di atas jasad cakerawala itu, memberikan sudut pandang yang sangat berbeza.
PROJEK SPACEX, BLUE ORIGIN
Untuk fasa kedua, agensi angkasa itu sedang bergantung kepada pendarat bulan komersial yang direka oleh SpaceX milik Elon Musk dan Blue Origin milik Jeff Bezos bagi membawa angkasawan ke permukaan Bulan.
Selepas kapsul Artemis II mendarat di Lautan Pasifik pada 11 April lalu, pegawai NASA menggesa semua pihak industri untuk bekerjasama ke arah pendaratan berawak pada 2028.
“Kita perlukan seluruh industri untuk bekerjasama dengan kita dan mereka perlu menerima cabaran ini serta memulakan barisan pengeluaran yang diperlukan bagi mencapai matlamat itu,” kata Pemangku Pentadbir Bersekutu NASA, Lori Glaze dalam sidang media.
Program Apollo bergantung kepada satu roket tunggal Saturn V, yang membawa kedua-dua pendarat bulan dan kapsul angkasawan.
Namun NASA memilih sistem dua komponen berasingan untuk program Artemis, satu untuk melancarkan kapal angkasa Orion yang membawa kru dari bumi dan satu lagi untuk melancarkan pendarat bulan yang akan dikontrakkan kepada syarikat swasta.
Sistem yang sedang dibangunkan NASA kini juga jauh lebih besar berbanding Apollo, malah pendarat bulan baharu yang dibangunkan oleh Blue Origin dan SpaceX adalah dua hingga tujuh kali lebih besar daripada sebelumnya.
Pendekatan baharu ini membuka akses kepada lebih banyak peralatan dan sumber, namun pada masa sama menjadikan operasi projek ini lebih kompleks.
Untuk menghantar kapal angkasa gergasi ini ke bulan, syarikat angkasa swasta perlu menguasai teknologi pengisian bahan api di orbit, satu gerakan kompleks yang belum pernah diuji sepenuhnya.
Selepas pendarat bulan dilancarkan, roket tambahan diperlukan untuk membekalkan bahan api bagi perjalanan ke bulan, kira-kira 400,000 kilometer dari bumi.
China, yang turut merancang menghantar manusia ke bulan menjelang 2030 kini menunjukkan kemajuan, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam pentadbiran AS. SpaceX dan Blue Origin turut menyusun semula strategi bagi memberi keutamaan kepada projek bulan tersebut demi mengekalkan kontrak lumayan bersama NASA.-UTUSAN










