KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu, ibu kepada penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor mengungkapkan rasa syukur, selepas mengetahui serangan yang dilakukan anaknya menyebabkan kematian dua anggota polis.
Pada prosiding sebelum ini, saksi ketiga menyatakan bahawa bapa penyerang mengakui bahawa darah polis, tentera dan institusi kerajaan halal dibunuh, namun kecewa kerana anak lelakinya tidak mengajaknya membuat serangan itu.
Saksi kelima, Asisten Superintenden Cassidy Anak Banta, 42, berkata, beliau mendengar Rosna Jantan, 61, dan suaminya, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 64, menyatakan demikian ketika melakukan serbuan di rumah ahli keluarga penyerang di Kampung Sungai Tiram beberapa jam selepas kejadian.
“Saya telah menceritakan kepada penghuni rumah yang merupakan ahli keluarga kepada Radin Luqman berkenaan kejadian serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram yang dilakukan oleh penyerang sehingga menyebabkan kematian dua anggota polis.
“Reaksi ibu penyerang (Rosna) berkata ‘alhamdulillah, baguslah tu’. Ayah penyerang pula berkata ‘saya cuma kesal kerana dia tidak ajak saya ikut bersama,” katanya ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan yang memasuki hari keempat.
Cassidy berkata, beliau mendengar dengan jelas kerana berada bersebelahan dengan tertuduh-tertuduh semasa serbuan di rumah itu.
Cassidy yang kini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berkata, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemukan beberapa laras senapang angin, paip PVC serta buku-buku berkait pengganas.
“Saya dibawa oleh ahli keluarga penyerang ke bilik ketiga yang dijadikan stor dan membuat rampasan empat senapang angin panjang serta sembilan paip PVC yang dipercayai untuk pembuatan senapang angin panjang serta beg uncang mengandungi 42 biji guli.
“Saya juga dibawa ke bilik kedua rumah itu dan merampas beberapa buah buku antaranya buku tertera tulisan ‘Al-Jihad Sabiluna’,” katanya.
Katanya, beliau membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri itu termasuk kesemua anaknya iaitu abang penyerang, Radin Romyullah; kakaknya, Farhah Sobina dan adiknya, Mariah.
“Saya telah menahan kesemua tertuduh kerana disyaki terlibat dalam kes serangan Ulu Tiram itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Cassidy kemudian diarahkan membuat pengecaman terhadap sebahagian rampasan barang kes yang terdiri daripada tiga buku nota, al-Quran, buku Al-Jihad dan buku warna hijau tertera tulisan ‘Shariat-Minhaj’.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Faizal Rahman dan Fatimah Zulaikha Ahmad Bashri.
Prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor itu akan bersambung pada 27 April ini.
Semasa serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei 2024, dua konstabel polis iaitu Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban manakala Koperal Mohd. Hasif Roslan, 38, cedera ditembak dan mengalami kecederaan pada bahu kiri dan punggung selepas diserang Radin Luqman yang ditembak mati dalam insiden terbabit. – UTUSAN










