PETALING JAYA: Kerajaan mengekalkan harga diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada kadar RM2.15 seliter memandangkan faktor geografi yang jauh lebih luas berbanding Semenanjung serta bentuk muka bumi yang mencabar.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, harga diesel tersebut dikekalkan pada RM2.15 seliter kerana diesel bukan setakat bahan api bagi mereka namun nadi kehidupan untuk menjalankan aktiviti harian.
“Dengan keluasan geografi 60 peratus lebih besar daripada Semenanjung dan bentuk muka bumi yang mencabar, penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan lebih bergantung kepada penggunaan diesel.
“Kerajaan turut menyalurkan bantuan RM400 melalui Budi Diesel bagi membantu menampung kos penggunaan diesel rakyat di Semenanjung,” katanya di Facebook hari ini.
MOF memaklumkan penggunaan diesel sekitar dua bilion liter dengan harga dikekalkan pada RM2.15 seliter bagi menyokong keperluan rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Tambah MOF, pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar memberi penekanan kepada keperluan pengguna dan prinsip kesamaratan bagi memastikan keberkesanan agihan kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN










