Trump terus pujuk Iran berunding

Trump terus pujuk Iran berunding

SEORANG wanita mengibarkan bendera kebangsaan Iran di hadapan papan iklan yang tertulis 'Selat Hormuz kekal ditutup' di Dataran Revolusi di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pusingan baharu rundingan damai di Asia Barat berpotensi bermula seawal Khamis ketika Amerika Syarikat (AS) dan Iran berdepan tekanan meningkat untuk menyambung semula perbincangan yang gagal di Islamabad minggu lalu.

Pakistan sekali lagi menawarkan diri sebagai tuan rumah, manakala China mengemukakan cadangan damai dan Perancis menggesa rundingan diteruskan.

Presiden AS, Donald Trump pula mendakwa, Teheran berminat untuk mencapai persetujuan.

“Kami dihubungi pihak satu lagi. Mereka sangat mahu mencapai perjanjian. Sesuatu mungkin berlaku dalam tempoh dua hari akan datang,” katanya.

Beliau turut menyatakan Islamabad berkemungkinan menjadi lokasi rundingan, sambil memuji ketua tentera Pakistan, Asim Munir, yang disifatkannya melakukan tugas dengan hebat.

Dalam temubual bersama ABC News, Trump menegaskan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh gencatan senjata dengan Iran.

“Ia boleh berakhir dalam apa jua keadaan, tetapi saya fikir perjanjian adalah lebih baik kerana mereka boleh membina semula,” katanya.

Pegawai Pakistan memaklumkan rundingan awal itu adalah sebahagian daripada proses diplomatik berterusan dan negara itu mencadangkan pusingan kedua rundingan di Islamabad.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengadakan perbincangan telefon dengan Trump dan rakan sejawatannya di Iran, Masoud Pezeshkian, sambil menggesa rundingan disambung semula.

Beliau menegaskan, gencatan senjata perlu dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez pula berkata, China boleh memainkan peranan penting dalam menamatkan perang dan menggesa Beijing memperkukuh usaha diplomatik.

“Saya sukar melihat pihak lain selain China yang boleh menyelesaikan situasi ini di Iran dan Selat Hormuz,” katanya ketika lawatan ke Beijing pada Selasa.

Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping mengemukakan pelan damai yang menekankan kewujudan bersama secara aman, penghormatan terhadap kedaulatan negara serta penyelarasan pembangunan dan keselamatan.

“Memelihara autoriti undang-undang antarabangsa. Ia tidak boleh ‘diguna apabila perlu, dibuang apabila tidak perlu’, dan kita tidak boleh membenarkan dunia kembali kepada hukum rimba,” katanya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×