NASA dedah foto ‘bumi terbenam’ dari orbit bulan

NASA dedah foto ‘bumi terbenam’ dari orbit bulan

NASA mendedahkan gambar menunjukkan fenomena ‘bumi terbenam’ di ufuk bulan yang dilihat dari kapal angkasa Orion.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mendedahkan foto-foto pertama yang dirakam oleh angkasawan misi Artemis II semasa penerbangan melintasi bulan, memaparkan pemandangan memukau yang jarang sekali dapat disaksikan manusia.

Imej pertama menunjukkan fenomena ‘earthset’ atau bumi terbenam, di mana planet kediaman kita kelihatan seolah-olah mengintai dari sebalik landskap kawah bulan yang gersang. 

Foto kedua pula merakamkan detik luar biasa gerhana matahari penuh yang disaksikan oleh para angkasawan apabila bulan menghalang cahaya matahari sepenuhnya dari sudut pandang ruang angkasa.

Pihak NASA tidak menyatakan individu spesifik yang merakamkan foto-foto berkenaan memandangkan krew kini dalam perjalanan pulang ke bumi. 

Foto bumi terbenam tersebut membawa semula nostalgia foto ikonik ‘bumi terbit’ yang dirakam oleh angkasawan, Bill Anders semasa misi Apollo 8 pada tahun 1968.

Imej planet biru berlatarbelakangkan kegelapan angkasa lepas itu masih dianggap sebagai salah satu foto alam sekitar paling ikonik yang pernah dirakam dalam sejarah manusia.

Foto-foto ini dirakam semasa penerbangan melintasi bulan selama enam jam, termasuk ketika kapsul Orion berada di bahagian belakang bulan yang tidak dapat dikesan isyarat bumi.

Menurut NASA, foto bumi terbenam tersebut dirakam melalui tingkap kapal angkasa Orion pada jam 6.41 petang (waktu tempatan) pada Isnin lalu.

“Bahagian gelap bumi menunjukkan waktu malam, manakala di bahagian siang, pusaran awan jelas kelihatan di ruang udara wilayah Australia dan Oceania,” kata NASA dalam satu kenyataan.

NASA turut memperincikan kawah Ohm yang berada di latar hadapan foto tersebut yang mempunyai tepian bertingkat dan lantai rata dengan puncak tengah. Puncak tersebut terbentuk apabila permukaan bulan yang mencair akibat impak, memercik ke atas semasa pembentukan kawah.

Bagi krew Artemis II, menyaksikan gerhana matahari dari angkasa lepas merupakan kemuncak misi luar biasa ini. Dalam foto yang didedahkan, korona matahari kelihatan jelas di sekeliling pinggiran bulan.

Berbeza dengan gerhana di bumi yang hanya berlaku dalam tempoh singkat, kedudukan Orion yang hampir dengan bulan membolehkan angkasawan menikmati tempoh gerhana penuh selama hampir 54 minit.

Angkasawan, Victor Glover menyifatkan pemandangan korona matahari tersebut persis filem sains fiksyen.

“Ini sesuatu yang luar biasa. Matahari berada di belakang bulan dan korona masih kelihatan terang, mewujudkan lingkaran cahaya di sekeliling keseluruhan bulan. Bumi kelihatan sangat terang di sana dan bulan pula seolah-olah tergantung di hadapan kami,” katanya penuh kagum. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×