Weststar Aviation sasar miliki 64 armada menjelang 2028

Weststar Aviation sasar miliki 64 armada menjelang 2028

SYED Muhammad Azni Syed Azman (tiga dari kiri) bersama pengurusan tertinggi kumpulan Weststar dan Ambank semasa permeteraian MoU pembiayaan RM2 bilion untuk menyokong fasa pertumbuhan syarikat di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. (Weststar) menyasarkan mengembangkan armadanya kepada 64 buah dalam tempoh dua tahun akan datang dengan pelaburan bernilai RM2 bilion bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama industri penerbangan serantau.

Langkah ini bakal menyaksikan lonjakan ketara berbanding jumlah 40 buah sedia ada, sekali gus menyokong kontrak sedia ada serta pelancaran operasi baharu dengan agensi kerajaan yang telah dimeterai tahun lalu.

Pengarah Eksekutif Weststar Aviation Services, Syed Muhammad Azni Syed Azman berkata, sasaran pemilikan lebih 60 buah armada itu dirancang secara strategik bagi memenuhi permintaan tinggi dalam sektor minyak dan gas (O&G), pertahanan serta perkhidmatan tindak balas kecemasan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami memiliki jumlah armada semasa hampir 40 buah dan kami akan meningkatkannya kepada 64 buah helikopter dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Fokus pengembangan daripada 40 kepada 64 buah ini memerlukan modal yang sangat besar bagi memastikan kami terus kompetitif dan mampu memenuhi keperluan kontrak-kontrak kritikal negara,” katanya ketika ditemui media selepas majlis menandatangani pembiayaan memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM2 bilion, di sini, semalam. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim berkata, pengukuhan armada ini akan meningkatkan daya saing syarikat dalam landskap global yang semakin kompleks.

“Kekuatan Weststar terletak pada keupayaan kami untuk berinovasi dan kekal tangkas. Pengembangan armada ini bukan sahaja mengukuhkan keupayaan operasi di dalam dan luar negara, malah menyokong sektor kritikal seperti tenaga dan pertahanan,” katanya.

Bagi menyokong fasa pertumbuhan berskala besar ini, Kumpulan AmBank melalui AmBank Islamic Berhad telah meluluskan kemudahan pembiayaan berjumlah RM2 bilion kepada Weststar.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Perbankan Borong AmBank, Datuk Jamzidi Khalid berkata, pembiayaan tersebut merupakan pelaburan strategik terhadap infrastruktur pengangkutan penerbangan Malaysia bagi memacu fasa pertumbuhan strategik Weststar yang seterusnya.

AmInvestment Bank Berhad bertindak sebagai penyelaras utama dan pengatur utama bermandat bersama bagi menstrukturkan pembiayaan tersebut, yang turut membuka jalan kepada potensi inisiatif masa hadapan termasuk penerbitan sukuk dan tawaran awam permulaan (IPO). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN