WASHINGTON: Lebih 20 peguam negara daripada Parti Demokrat memfailkan saman pada Jumaat, bagi mencabar perintah eksekutif Presiden Donald Trump yang menyekat kelayakan pengundian melalui pos.
Dalam perintah yang dikeluarkan pada Selasa lalu, Trump mengarahkan Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat (USPS) supaya tidak menghantar kertas undi pos atau undi tidak hadir kepada individu yang tidak tersenarai dalam pangkalan data rasmi warganegara yang layak.
Trump turut menugaskan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) untuk menyusun senarai tersebut menggunakan rekod kewarganegaraan dan naturalisasi persekutuan.
Di bawah perintah itu, kelayakan pengundi ditakrifkan sebagai individu berumur 18 tahun ke atas dan memiliki kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS).
Negeri atau lokaliti yang enggan mematuhi arahan tersebut berdepan risiko kehilangan dana persekutuan serta siasatan pihak berkuasa.
Dalam tuntutan mahkamah tersebut, kumpulan peguam negara menyifatkan perintah itu sebagai campur tangan tidak berperlembagaan dalam pilihan raya negeri dan satu langkah untuk menafikan hak pengundi.
Mengikut Perlembagaan AS, presiden tidak mempunyai kuasa ke atas pengendalian pilihan raya.
Tanggungjawab tersebut terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala Kongres hanya mempunyai kuasa terhad untuk meminda pilihan tertentu.
Gabungan itu turut berhujah bahawa perintah tersebut telah dan akan terus mencetuskan kekeliruan serta huru-hara dalam sistem pilihan raya negeri, memandangkan pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Pertengahan Penggal 2026 bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Sekali lagi, Presiden Trump cuba mengubah peraturan pilihan raya kita. Namun, beliau sama sekali tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian,” tegas Peguam Negara California, Rob Bonta yang merupakan salah seorang plaintif dalam kenyataan media pada Jumaat.
Langkah ini merupakan cabaran terbaharu terhadap perintah eksekutif Trump selepas pemimpin Demokrat di Kongres dan organisasi hak asasi manusia turut memfailkan saman berasingan atas alasan yang sama minggu ini.
Bagaimanapun, jurucakap Rumah Putih, Abigail Jackson mempertahankan tindakan presiden dalam satu kenyataan kepada The Guardian.
“Hanya ahli politik dan jentera Demokrat sahaja yang akan berasa marah terhadap usaha sah untuk menjamin keselamatan pilihan raya AS dan memastikan hanya warganegara yang layak sahaja dibenarkan mengundi,” katanya.- AGENSI










