Sains sebagai kunci masa depan negara

Sains sebagai kunci masa depan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sedang berada di persimpangan penting sejarahnya. Dalam tempoh satu dekad akan datang, negara ini akan berdepan cabaran besar yang menentukan arah masa depan daripada keterjaminan makanan dan air, kepada perubahan iklim, hinggalah keperluan memperkukuh pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Akademi Sains Malaysia (ASM) memainkan peranan strategik dalam memimpin usaha ini melalui pendekatan misi berfokus, dengan menggembleng kepakaran para felo serta jaringan saintis muda (YSN) bagi menghasilkan penyelesaian konkrit menjelang 2036.

Dunia kini berada dalam era pasca normal yang penuh ketidaktentuan. Peperangan di Asia Barat dan konflik Ukraine sejak 2022 membuktikan krisis geopolitik boleh memberi kesan mendalam kepada tenaga, makanan dan kestabilan ekonomi global.

Malaysia tidak terkecuali daripada rantaian kesan ini. ASM sebagai agensi pemikir saintifik negara tidak boleh berdiam diri sebaliknya mesti sentiasa melihat kehadapan, merancang dan bertindak secara strategik agar Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

KETERJAMINAN MAKANAN MELALUI TEKNOLOGI PINTAR

Projek kritikal ASM dalam keterjaminan makanan menekankan pertanian jitu. Dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI), sensor dan dron, ASM mampu mencadangkan kaedah baharu meningkatkan hasil tanaman tanpa menambah beban kepada alam sekitar.

Penghasilan beras sebagai makanan ruji rakyat mesti diperkukuh melalui benih berkualiti, sistem pengeluaran yang cekap dan kawalan harga beras berasaskan data pintar.

Selain itu, ASM boleh mencadangkan penerokaan sumber makanan alternatif, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memanfaatkan kawasan baharu tanpa menjejaskan alam sekitar.

Pendekatan ini bukan sahaja menjamin keterjaminan makanan tetapi juga membina daya tahan ekonomi negara.

Malaysia kaya dengan kepelbagaian biologi tropika, namun pengurusan berkesan memerlukan teknologi moden. ASM melalui projek kepelbagaian biologi persisan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti spesies terancam, memantau ekosistem hutan hujan dan meramal kesan pembangunan.

Data lengkap dan analisis pintar membolehkan kawalan pemburuan haram, pemantauan ekosistem serta pendidikan awam yang lebih berkesan.

Dengan pendekatan ini, Malaysia bukan sahaja mempertahankan khazanah kepelbagaian biologi tetapi juga membina reputasi sebagai pusat penyelidikan tropika unggul di ASEAN.

Tiada misi saintifik akan berjaya tanpa tenaga kerja berpengetahuan. ASM bersama YSN dan felo perlu menyumbang program motivasi di sekolah, khususnya sekolah berasrama penuh yang melahirkan pelajar terbaik negara. Program ini mesti melibatkan kaedah baharu seperti pembelajaran berasaskan pengalaman, projek robotik, simulasi AI dan amali data.

ASM menekankan kepentingan TVET sebagai laluan kerjaya masa hadapan dalam tenaga boleh diperbaharui, bioteknologi dan automasi. Nisbah pelajar aliran sains mesti ditingkatkan, dengan penilaian pencapaian setiap 3 hingga 5 tahun dilaksanakan secara serius.

ASM boleh mencontohi model kejayaan negara maju. Korea Selatan membangunkan industri teknologi tinggi melalui pelaburan besar dalam STEM.

Jepun pula menunjukkan bagaimana budaya inovasi dan disiplin menghasilkan teknologi bertaraf dunia.

Sementara China membuktikan TVET sebagai enjin utama pembangunan industri, manakala negara Eropah menekankan kelestarian dalam setiap projek sains.

Malaysia boleh menyesuaikan model ini dengan realiti tempatan, menjadikan ASM jambatan antara pengalaman global dan keperluan nasional.

Kekuatan ASM terletak pada gabungan pengalaman dan semangat baharu. Felo ASM membawa kebijaksanaan, rangkaian antarabangsa dan kredibiliti untuk mempengaruhi dasar.

Saintis muda pula membawa idea segar, keberanian mencuba dan penguasaan teknologi terkini. Kolaborasi lintas generasi ini menghasilkan ekosistem inovasi dinamik, di mana pengalaman dan kreativiti bergabung untuk penyelesaian nasional.

ASM perlu bergerak daripada projek berasingan kepada misi nasional bersepadu. Setiap misi mesti mempunyai matlamat jelas, contohnya “Malaysia bebas krisis air menjelang 2036.”

Begitu juga dengan kepelbagaian biologi persisan yang memfokuskan habitat hidupan liar sebagai petunjuk kesihatan planet.

Pasukan multidisiplin mesti dibentuk, melibatkan saintis, jurutera, pembuat dasar dan komuniti. Penilaian impak dilakukan secara berkala, memastikan penyelidikan benar-benar menyelesaikan masalah rakyat.

Dengan pendekatan ini, ASM boleh meletakkan Malaysia sebagai contoh negara membangun yang menggunakan sains untuk kesejahteraan rakyat.

Malaysia berpotensi menjadi hab inovasi serantau, menarik pelaburan dan bakat. ASM juga boleh memimpin dalam diplomasi sains, membina kerjasama dengan negara ASEAN dan dunia Islam dalam isu bersama seperti makanan halal, kepelbagaian biologi tropika dan tenaga bersih.

 

AKADEMI Sains Malaysia (ASM) perlu memainkan peranan penting dalam memacu penyelesaian berasaskan sains bagi menghadapi cabaran masa depan negara.

 

Pengalaman ASM dalam jaringan antara akademi sains dunia dan keahlian felo ASM dalam akademi sains antarabangsa membantu ASM menjadi pusat kepimpinan sains serantau.

Dekad akan datang menuntut keberanian untuk berfikir lebih besar dan bertindak berfokus. ASM, dengan kepakaran felo dan semangat saintis muda, boleh menjadi enjin utama yang menggerakkan Malaysia ke arah penyelesaian mampan dalam makanan, air, tenaga, kesihatan, kepelbagaian biologi dan pendidikan.

ASM yang terlibat secara langsung dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 mesti mendahului sebagai pemangkin utama menjayakan dasar berkenaan.

Dalam memastikan kejayaan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE), ASM perlu menjelaskan hubungan 10 pemacu sains dan teknologi dengan 10 sektor sosioekonomi negara.

Begitu juga dengan tanggungjawab ASM dalam pembangunan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara bagi memastikan kelestarian alam sekitar selari dengan kemajuan teknologi.

Pendekatan misi berfokus bukan sekadar strategi saintifik tetapi tanggungjawab moral memastikan sains berkhidmat untuk rakyat, alam sekitar dan masa depan negara.

Jika dilaksanakan dengan tekad, Malaysia bukan sahaja akan menyelesaikan cabaran domestik tetapi juga muncul sebagai suara penting dalam komuniti sains global.-UTUSAN

 

DR. Ahmad Ismail ialah Felo Akademi Sains Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×