PETALING JAYA: DENZA, jenama mewah premium di bawah BYD melancarkan kempen jenama global terbaharu yang menampilkan pelakon British, Daniel Craig, selari dengan pengembangan antarabangsa jenama ini yang semakin pesat pada tahun 2026.
Kempen ini menandakan satu lagi langkah penting dalam pertumbuhan DENZA apabila jenama ini terus membawa gabungan unik teknologi kenderaan tenaga baharu yang canggih, ketelitian hasil kerja premium, serta reka bentuk elegan ke lebih banyak pasaran di seluruh dunia.
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, kempen jenama global terbaharu ini turut membuka lembaran baharu yang mengujakan apabila DENZA Malaysia terus memperkukuh kehadiran tempatan sambil membuat persiapan bagi ketibaan model flagship, DENZA Z9GT.
Katanya, dijangka menjadi antara model paling dinanti-nantikan daripada jenama ini, DENZA Z9GT mencerminkan visi DENZA terhadap mobiliti premium menerusi gabungan inovasi progresif, teknologi keselamatan bertaraf tinggi, serta bahasa reka bentuk yang berani dan sofistikated.
“Kempen jenama global terbaharu DENZA menandakan satu langkah penting dalam pengembangan jenama ini di peringkat antarabangsa, dan bagi kami di Malaysia, ia turut mencerminkan fasa seterusnya dalam memperkukuh kehadiran DENZA di pasaran tempatan.
“DENZA Z9GT yang bakal diperkenalkan menampilkan gabungan teknologi canggih, ketelitian hasil kerja premium, ciri keselamatan bertaraf tinggi, serta reka bentuk yang sofistikated. Kami berharap untuk berkongsi lebih banyak lagi mengenai model ini dengan pelanggan di Malaysia dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai jenama premium yang didedikasikan sepenuhnya kepada kenderaan tenaga baharu demi mobiliti mampan, DENZA bersedia untuk mendekati generasi pelanggan baharu yang tertarik dengan gabungan unik inovasi termaju dan keanggunan reka bentuk yang dipengaruhi cita rasa Eropah.
Naib Presiden Eksekutif BYD, Stella Li berkata, Daniel Craig melambangkan gabungan yang menonjol antara keteguhan, sofistikasi dan keaslian yang amat dekat dengan apa yang diwakili oleh DENZA.
“Ketika kami terus memperluaskan jenama ini ke peringkat global merangkumi Eropah, Amerika Latin, Asia Barat dan Afrika, kami berbangga untuk mengalu-alukan seorang pelakon yang kehadiran dan perwatakannya mencerminkan semangat DENZA.
“Bersama-sama, kami ingin menunjukkan bagaimana teknologi, reka bentuk dan emosi dapat disatukan untuk membentuk visi baharu bagi mobiliti premium,” katanya.
Tambahnya, maklumat lanjut mengenai DENZA Z9GT di Malaysia akan diumumkan pada masa yang sesuai. – UTUSAN










