PARIS: Senegal membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mencabar keputusan melucutkan kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan menyerahkannya kepada Maghribi.
Mahkamah timbang tara itu mengesahkan telah menerima rayuan daripada Persekutuan Bola Sepak Senegal terhadap Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) serta Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi.
Skuad Singa Teranga berusaha membatalkan keputusan tersebut selepas CAF menukar kemenangan 1-0 mereka kepada kekalahan 3-0 atas dakwaan melanggar peraturan kejohanan.
Kontroversi tercetus apabila pemain Senegal menghentikan permainan sebagai tanda protes terhadap sepakan penalti yang diberikan kepada Maghribi dalam perlawanan akhir pada 18 Januari lalu.
“CAS mengesahkan penerimaan rayuan oleh Persekutuan Bola Sepak Senegal terhadap CAF dan juga pihak Maghribi.
“Rayuan ini bertujuan mengetepikan keputusan CAF dan mengiktiraf Senegal sebagai juara Piala Negara-Negara Afrika,” kata kenyataan pasukan Senegal.
Ketegangan memuncak susulan keputusan pengadil Jean-Jacques Ndala yang menghadiahkan penalti selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) sehingga mencetuskan kekecohan.
Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila penyokong cuba menceroboh padang, namun kedua-dua pasukan tetap meneruskan jadual perlawanan persahabatan sementara menanti keputusan muktamad kes tersebut. – AGENSI/UTUSAN










