Mengapa masalah sosial terus berlaku?

Mengapa masalah sosial terus berlaku?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH sosial bukan lagi perkara asing dalam masyarakat kita. Hampir setiap hari, ada sahaja kisah kes penyalahgunaan dadah, buli di sekolah, kes pembuangan bayi, jenayah rogol bawah umur, aktiviti ‘songsang’, kes bunuh, aktiviti tidak bermoral sehinggalah kepada isu yang lebih moden seperti ketagihan media sosial, penipuan atas talian dan budaya hedonisme melampau.

Lebih membimbangkan, masalah sosial terus berlaku walaupun negara semakin maju dari sudut pendidikan, teknologi dan infrastruktur.

Apakah punca masalah sosial ini berakar umbi daripada keluarga, sekolah, masyarakat, atau dasar negara sendiri? Atau sebenarnya, kesilapan itu terletak pada pilihan individu yang enggan menggunakan akal dan pertimbangan moral yang betul?

Memuatkan artikel berkaitan…

PERANAN KELUARGA
Keluarga adalah institusi asas yang membentuk keperibadian. Jika akar tunjang ini goyah, maka tumbuhlah generasi yang rapuh. Banyak kajian menunjukkan bahawa remaja yang terjebak dalam masalah sosial sering datang daripada keluarga yang pincang, ibu bapa bercerai, kurang perhatian, atau sibuk mengejar kerjaya sehingga anak-anak terabai.

Tidak dinafikan, ada juga anak-anak daripada keluarga baik yang tetap terjebak, tetapi itu kes terpencil. Secara umumnya, keluarga yang gagal menanamkan nilai agama, kasih sayang, disiplin dan komunikasi yang berkesan akan melahirkan anak-anak yang mencari perhatian di luar, lalu mudah terpengaruh dengan rakan sebaya atau budaya songsang.

Soalnya, sejauh mana ibu bapa hari ini benar-benar memainkan peranan sebagai pendidik pertama? Atau kita sudah terlalu menyerahkan tanggungjawab mendidik sepenuhnya kepada sekolah dan teknologi?

PENDIDIKAN
Sekolah pula sering dijadikan tempat menimba ilmu akademik semata-mata, sedangkan aspek pembentukan sahsiah semakin dipinggirkan. Sistem pendidikan yang terlalu menekankan peperiksaan dan pencapaian akademik akhirnya melahirkan generasi “pandai atas kertas tetapi kosong jiwa”.

Pelajar tahu mengira formula matematik, tetapi tidak tahu mengawal emosi. Mereka mampu menghafal fakta sejarah, tetapi gagal menghargai nilai moral. Di sinilah timbul masalah: Ilmu ada, tetapi tidak diterjemahkan dalam kehidupan. Sekolah yang sepatutnya menjadi benteng kedua selepas keluarga kadangkala gagal menjalankan peranan membentuk sahsiah menyeluruh.

Adakah kita terlalu ghairah mengejar ranking global sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan dan moral dalam pendidikan? Di sinilah pentingnya memanusiakan pendidikan, mesti dikembalikan dan diberi penekanan dalam silibus sekolah.

MEDIA SOSIAL
Tidak dapat dinafikan, media dan teknologi menjadi faktor besar dalam menularnya masalah sosial. Dengan media sosial, budaya hedonisme, kebebasan tanpa batas dan kandungan tidak bermoral menjadi mudah diakses, terutama oleh generasi muda.

Telefon pintar yang sepatutnya menjadi alat komunikasi, kini menjadi medan pamer diri, persaingan tidak sihat dan penyebaran maklumat palsu. Ramai yang obses mengejar perhatian maya, sanggup menggadaikan maruah demi like dan follower.

Lebih malang, kawalan keluarga terhadap penggunaan gajet amat longgar. Anak-anak dibiarkan “dijaga” oleh telefon pintar, sedangkan ibu bapa sibuk dengan urusan masing-masing. Inilah yang akhirnya melahirkan generasi ketagih skrin tetapi hilang kemahiran sosial di dunia nyata.

TEKANAN EKONOMI
Masalah sosial juga berkait rapat dengan tekanan ekonomi. Kos sara hidup yang semakin tinggi, kadar pengangguran belia dan jurang kaya miskin yang melebar menambah luka. Remaja yang merasa tiada masa depan mudah mencari jalan pintas melalui jenayah, dadah, atau aktiviti tidak bermoral.

Bukan semua, tetapi ramai yang memilih jalan salah kerana merasa tidak diberi peluang. Apabila sistem sosial tidak menyediakan ruang yang adil untuk semua, maka golongan terpinggir akan mencari cara lain untuk melarikan diri daripada realiti.

Soalnya, sejauh mana dasar negara benar-benar membantu membina masyarakat yang seimbang, bukan hanya membina bangunan pencakar langit, tetapi juga membina nilai insani yang teguh?

MASYARAKAT
Masyarakat kita dahulu terkenal dengan semangat gotong-royong, saling menasihati dan rasa kebersamaan. Tetapi hari ini, sifat individualistik semakin menebal. Orang lebih suka ‘jaga tepi kain sendiri’ walaupun melihat jiran atau rakan muda sedang hanyut.

Budaya menegur dianggap menyibuk, sedangkan dalam Islam dan adat kita, saling menegur adalah tanda peduli. Bila masyarakat semakin diam melihat salah, maka salah itu akhirnya dianggap normal. Contoh paling ketara ialah normalisasi budaya zina, rokok, dadah dan pergaulan bebas.

Soalnya, di mana suara masyarakat bila anak-anak muda kita semakin jauh hanyut? Adakah kita hanya mahu mengeluh di media sosial tanpa benar-benar turun membantu?

Budaya ‘menjaga tepi kain orang’ ini sangat relevan bukan sahaja atas sebab ukhuwwah tetapi berperanan penting dalam membanteras jenayah domestik dan salah laku, perbuatan tidak bermoral dalam masyarakat kita.

TANGGUNGJAWAB
Walau apa pun alasan, akhirnya setiap individu tetap memegang tanggungjawab atas dirinya sendiri. Tidak adil menyalahkan ibu bapa, sekolah, atau negara semata-mata, kerana pada akhirnya, setiap manusia diberi akal dan pilihan.

Seseorang yang memilih untuk menagih dadah, merompak, atau terjebak dalam jenayah tetap melakukannya atas kehendak sendiri. Pendidikan, keluarga, dan masyarakat boleh menjadi faktor pengaruh, tetapi keputusan terakhir tetap di tangan individu.

Di sinilah pentingnya kesedaran moral dan agama. Jika individu sedar akan tanggungjawab diri kepada Tuhan, keluarga, dan masyarakat, maka pilihan untuk menjauhi masalah sosial akan lebih kuat.

DI MANA SILAPNYA?
Masalah sosial bukan berpunca daripada satu faktor tunggal. Ia adalah kegagalan kolektif: Keluarga yang lalai, sistem pendidikan yang terlalu akademik, pengaruh media sosial yang tidak terkawal, tekanan ekonomi yang menjerut, masyarakat yang pasif dan individu yang memilih jalan salah.

Silapnya terletak pada kita semua yang sering saling menuding jari, tetapi enggan memperbaiki diri. Jika mahu keluar daripada belenggu ini, kita perlu kembali membina semula asas masyarakat: Keluarga yang utuh, pendidikan yang berjiwa, media sosial yang terkawal, dasar yang adil dan individu yang sedar tanggungjawab.

Selagi kita hanya menuding tanpa bertindak, masalah sosial akan terus menjadi-jadi. Soalnya kini, adakah kita mahu terus berdiam, atau mula memperbaiki kesilapan bersama? – UTUSAN

PENULIS adalah Timbalan Pengarah Kanan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) UIAM Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini