PETALING JAYA: Suhu panas dan gelombang haba yang melanda Semenanjung Malaysia dengan suhu harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius merupakan faktor utama yang meningkatkan kes kebakaran sejak beberapa hari lalu.
Ia termasuk di kawasan hutan, belukar, kebun dan ladang yang melibatkan beberapa buah negeri.
Dalam tempoh hanya dua hari, sebanyak 896 kes direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di 39 daerah seluruh negara termasuk tiga kebakaran besar yang sehingga kini masih belum berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Insiden tersebut melibatkan dua kebakaran di Pahang iaitu masing-masing di ladang kelapa sawit dan hutan seluas 150 hektar di Pekan dan 292 hektar di Rompin selain satu kebakaran hutan berskala besar di Punggai, Pengerang, Johor yang melibatkan kawasan kira-kira 150 hektar.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya berdepan tekanan operasi yang tinggi apabila terpaksa mengendalikan purata lebih 400 kes kebakaran setiap hari, khususnya melibatkan kebun, ladang, hutan, belukar dan kawasan lalang sepanjang musim panas dan kering sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Antara 40 hingga 60 peratus panggilan kecemasan yang diterima ketika musim panas adalah berkaitan pembakaran terbuka. Berdasarkan rekod sehingga Februari tahun ini sahaja, jumlah kes telah mencecah 32,810,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau turut memberi amaran bahawa kebakaran di kawasan tanah gambut merupakan ancaman paling sukar dikawal kerana api boleh merebak di bawah permukaan tanah tanpa dikesan seterusnya membara selama berminggu-minggu jika tidak dibendung dari peringkat awal.
Sementara itu, penurunan aras air bumi yang drastik akibat musim kemarau panjang merupakan antara faktor utama menyebabkan berlakunya kebakaran khususnya melibatkan tanah gambut berskala besar.
Profesor bidang Kejuruteraan Geoteknikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Safuan A. Rashid berkata, keadaan tersebut menyebabkan lapisan gambut menjadi sangat kering dan mudah terbakar.
“Selain itu, aktiviti manusia seperti pembersihan tanah untuk pertanian melalui pembakaran terbuka juga kekal menjadi antara punca yang mencetuskan api di kawasan sensitif ini.
“Sistem pengaliran keluar air melalui parit-parit saliran yang tidak diurus dengan baik menyebabkan ekosistem gambut kehilangan kelembapan semula jadinya dengan cepat,” katanya.
Ahmad Safuan turut memberitahu, jika kebakaran tanah gambut berpanjangan, ia dibimbangi memberi ancaman kesihatan kepada penduduk.
“Kebakaran tanah gambut menghasilkan kepekatan partikel terampai yang jauh lebih tinggi daripada kebakaran hutan biasa, sekali gus merosotkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke tahap berbahaya bagi penduduk setempat.
“Pendedahan berterusan terhadap asap jerebu ini boleh menyebabkan radang paru-paru yang serius, serangan asma akut serta meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak.
“Selain itu, pelepasan gas karbon yang tinggi bukan sahaja menjejaskan kualiti udara malah menyumbang kepada pemanasan setempat yang menjadikan cuaca di sekitar Johor terasa lebih bahang,” katanya.
Dalam pada itu, kebakaran di kawasan tanah gambut di ladang kelapa sawit dan hutan seluas kira-kira 592 hektar berhampiran Kampung Jemeri, Rompin serta Ladang Agropolitan Nenasi, Pekan, Pahang menjadi cabaran besar buat pasukan bomba apabila api sukar dipadam sepenuhnya dan perlu mengambil masa berhari-hari untuk dikawal.
Timbalan Pengarah JBPM Pahang, Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, secara kebiasaannya kebakaran di kawasan tanah gambut akan mengambil masa yang panjang untuk dipadam sepenuhnya kerana struktur tanah gambut yang menyimpan haba dan bara api di bawah permukaan.
Beliau berkata, walaupun api di permukaan kelihatan sudah padam, bara masih boleh menyala semula apabila terkena angin atau oksigen, menyebabkan kebakaran berulang.
“Cabaran yang sering kali dihadapi adalah isu sumber air yang terhad dan akses ke kawasan kebakaran yang sukar untuk dilalui.
“Selain itu, faktor cuaca panas dan kering ketika ini turut menyumbang kepada kesukaran operasi, kerana api mudah marak semula walaupun usaha pemadaman dilakukan secara berterusan.
“Setakat hari kedua hari ini (semalam) kebakaran operasi pemadaman masih lagi dalam operasi.Pihak bomba sudah membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan unit udara bomba bagi membantu operasi pemadaman,” katanya.
Dalam pada itu, mengikut laporan status cuaca panas yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat pukul 4 petang semalam, terdapat tiga kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap dua (gelombang haba) iaitu di Pokok Sena, Pendang dan Baling iaitu masing-masing di Kedah manakala 14 kawasan lain pula berada pada tahap satu (berjaga-jaga).-UTUSAN.











