KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada penjawat awam, khususnya para guru, dibenarkan bekerja dari rumah (WFH) akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet yang dijadualkan esok.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan akur terhadap sebarang keputusan yang dibuat kerajaan sekiranya penjawat awam dibenarkan melaksanakan WFH.
“Kalau Kabinet buat keputusan mengenai kerja dari rumah, kita akan ikut keputusan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sesi Libat Urus Pengurusan Tertinggi KPM Bersama Pengamal Media di Permata Kurnia, di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai keperluan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Fadhlina berkata, sesi persekolahan ketika ini diteruskan seperti biasa.
“Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat mengenai PdPR dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.
“Keutamaan kita ialah pembelajaran anak-anak,” katanya. – UTUSAN










