BUTTERWORTH : Dua buah kapal perang milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) iaitu USS Tulsa dan USS Santa Barbara dikesan berlabuh di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini sejak kelmarin.
Memetik laporan berita daripada portal The War Zone (TWZ), kedua-dua kapal sebelum itu pernah ditempatkan di Asia Barat dan tiba di Bahrain kira-kira setahun yang lepas.
Katanya, peralihan lokasi itu dibuat bagi menggantikan kapal pemburu periuk api atau ‘minehunter’ jenis Avenger yang telah ditamatkan perkhidmatannya di kawasan perairan tersebut sebelum ini.
Portal itu memaklumkan, kemunculan kedua-dua kapal itu yang terletak beribu batu jaraknya dari Malaysia bagaimanapun menjadi tanda tanya ketika Iran mula melancarkan serangan terhadap kapal-kapal komersial yang melalui Selat Hormuz ketika ini.
Selain itu katanya, sejauh mana kebenaran bahawa Iran telah memasang periuk api laut di selat itu juga masih kurang jelas buat masa ini, namun, ancaman tersebut tetap dianggap besar terhadap keselamatan masa depan laluan air tersebut.
Untuk rekod, USS Tulsa dan USS Santa Barbara merupakan sebahagian daripada kapal LCS kelas Independence yang dilengkapi dengan pakej misi langkah balas periuk api atau ‘mine countermeasures’.
Sementara itu, portal yang sama memaklumkan, kelibat dua kapal perang itu menjadi tular selepas ia dikongsi oleh seorang wartawan pertahanan dan penerbangan yang berpangkalan di Australia iaitu Mike Yeo menerusi laman X.
Selain berkongsi gambar yang diambil daripada laman Instagram milik Sherwynd Kessler, beliau menulis: ‘Menarik. Kapal Littoral Combat Ship iaitu USS Tulsa dan USS Santa Barbara, yang sebelum ini ditempatkan secara bergilir di Asia Barat dan sepatutnya menjadi platform langkah balas periuk api bagi US Navy di rantau tersebut, kini berada di Pulau Pinang.’
Dalam pada itu, TWZ berpandangan, alasan sebenar mengapa USS Tulsa dan USS Santa Barbara dihantar jauh sehingga ke timur masih tidak begitu jelas buat masa ini.
Bagaimanapun, portal itu menjelaskan, faktor ketersediaan pelabuhan serta diplomatik mungkin mempengaruhi perkara tersebut.-UTUSAN










