Sejauh mana impak Zon Ekonomi Khas?

Sejauh mana impak Zon Ekonomi Khas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SECARA asasnya, Zon Ekonomi Khas (SEZ) merujuk kawasan tertentu yang menawarkan peraturan perdagangan dan pelaburan yang lebih fleksibel bagi menarik pelaburan langsung asing. Pendekatan ini digunakan secara meluas dalam pembangunan ekonomi global kerana ia membolehkan negara menguji model industri baharu secara lebih pantas dan terfokus.

Di Malaysia, konsep ini dapat dilihat melalui beberapa zon dan kawasan pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Zon Perdagangan Bebas Pelabuhann Klang di Selangor, Zon Komersial Bebas KLIA, Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas di Pulau Pinang serta Zon Bebas Pasir Gudang di Johor.

Zon-zon ini menyokong sektor strategik seperti teknologi maju, logistik pintar, tenaga bersih, peluang pekerjaan dan pembuatan bernilai tinggi yang berpotensi meningkatkan daya saing ekonomi negara.

Namun, realiti pembangunan menunjukkan bahawa kejayaan zon ekonomi tidak hanya ditentukan oleh jumlah pelaburan yang diumumkan. Lebih penting ialah bagaimana projek tersebut dilaksanakan di lapangan. Tanpa sistem pentadbiran yang tersusun, pelaburan yang besar sekali pun boleh berdepan kelewatan, kegagalan, pertindihan proses atau ketidakpastian undang-undang.

Pelabur melihat Malaysia sebagai satu destinasi pelaburan yang tunggal, tetapi dalam amalan pentadbiran, kelulusan projek sering berdepan banyak pusat kuasa, daripada kementerian persekutuan hingga kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Cabaran sebenar SEZ bukan pada promosi pelaburan, tetapi pada kemampuan kerajaan menyelaras kuasa antara kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Tanpa penyelarasan yang jelas antara kuasa persekutuan dan negeri, proses seperti penukaran syarat tanah, kelulusan perancangan, pembangunan tanah dan penyediaan infrastruktur boleh mengambil masa lebih lama, sekali gus melambatkan garis masa pelaburan.

Dalam pelaksanaan SEZ, keadaan ini bermakna dasar pelaburan mungkin dirangka di peringkat persekutuan, tetapi banyak keputusan praktikal masih bergantung kepada kerajaan negeri, pihak berkuasa perancang tempatan dan pihak berkuasa tempatan.

Urusan seperti pelupusan tanah, premium, penukaran syarat tanah, sekatan kepentingan dan kebenaran merancang sering menjadi faktor yang menentukankelajuan sesuatu projek pembangunan.

Dalam realiti projek pembangunan, kelewatan lazimnya muncul pada beberapa titik kritikal seperti kelulusan penukaran syarat tanah oleh kerajaan negeri, proses kebenaran merancang di pihak berkuasa perancang tempatan, serta penyelarasan utiliti asas seperti elektrik, air dan infrastruktur saliran.

Jika penyelarasan kuasa gagal, kosnya bukan sekadar kelewatan pentadbiran, tetapi pelaburan yang tertangguh, peluang pekerjaan yang terlepas, projek yang lambat beroperasi, menjadi terbengkalai dan keyakinan pelabur yang semakin susut.

Tanah, kerajaan tempatan dan banyak urusan pembangunan fizikal berada di bawah bidang kuasa negeri. Sebaliknya, pelaburan, perdagangan antarabangsa, kewangan dan percukaian lazimnya dipacu oleh kerajaan persekutuan.

Pembahagian kuasa ini menjadikan penyelarasan antara pelbagai peringkat pentadbiran sangat penting dalam pelaksanaan projek pembangunan berskala besar.

Perbezaan prosedur antara kawasan juga boleh mempengaruhi tempoh kelulusan sesuatu projek. Dalam beberapa keadaan, pengumuman projek berskala besar turut memberi kesan kepada pasaran tanah setempat.

Oleh itu, penyelarasan dasar dan pentadbiran menjadi prasyarat penting untuk memastikan pembangunan berjalan secara teratur dan diyakini pelabur.

Sebenarnya, Perlembagaan telah menyediakan beberapa mekanisme penting untuk tujuan penyelarasan tersebut. Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan memberi ruang kepada Parlimen menggubal undang-undang bagi mewujudkan keseragaman antara negeri dalam keadaan tertentu.

Perkara 91 pula menubuhkan Majlis Tanah Negara yang berfungsi merangka dasar nasional berkaitan penggunaan tanah serta pentadbiran undang-undang tanah. Selain itu, Perkara 95A mewujudkan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan sebagai platform penyelarasan dasar di peringkat pihak berkuasa tempatan.

Selain daripada ini, terdapat pelbagai majlis dan agensi bagi tujuan penyelarasan dan koordinasi antara kerajaan persekutuan dan negeri bagi melancarkan pembangunan.

Kewujudan institusi ini menunjukkan bahawa sistem perundangan negara sebenarnya telah menyediakan saluran untuk menyelaraskan dasar pembangunan. Cabarannya bukanlah kekurangan mekanisme undang-undang, tetapi bagaimana mekanisme tersebut dimanfaatkan secara lebih efektif.

Dalam aspek operasi pembangunan, beberapa undang-undang utama memainkan peranan penting. Kanun Tanah Negara (Semakan 2020) (Akta 828) menjadi asas kepada urusan berkaitan pelupusan, pegangan, pindah milik, pajakan dan pendaftaran urusan tanah.

Pada masa yang sama, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) menetapkan kerangka perancangan fizikal melalui pelan pembangunan dan kebenaran merancang. Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta171) pula memperkukuh fungsi pihak berkuasa tempatan dalam pengurusan kawasan, pelesenan dan penguatkuasaan.

Dalam konteks SEZ, keberkesanan sistem tersebut bergantung kepada komitmen serta keupayaan institusi kerajaan persekutuan dan negeri bagi menyelaraskan pelbagai peraturan, polisi dan proses pentadbiran secara teratur.

Langkah praktikal yang boleh dipertimbangkan ialah mekanisme kelulusan satu pintu, garis masa kelulusan yang standard, serta pasukan petugas bersama persekutuan-negeri bagi menyelaras keputusan projek secara lebih pantas dan telus.

Perlu diketahui bahawa, insentif pelaburan sahaja tidak mencukupi. Pelabur antarabangsa biasanya memberi perhatian kepada faktor kebolehjangkaan undang-undang.

Mereka memerlukan kejelasan tentang siapa yang meluluskan sesuatu permohonan, berapa lama tempoh kelulusan, dokumen yang diperlukan serta saluran rayuan sekiranya berlaku kelewatan atau pertindihan proses pentadbiran.

Tanpa disiplin penyelarasan antara pihak berkuasa persekutuan dan negeri, SEZ berisiko kehilangan impak praktikal dan gagal menjadi ekosistem ekonomi yang benar-benar berfungsi untuk negara.

Pada masa yang sama, rakyat juga mempunyai kepentingan yang perlu dilindungi. Pembangunan ekonomi tidak seharusnya mengorbankan kepentingan awam seperti kelestarian alam sekitar, keselamatan, peluang pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan komuniti setempat.

Pendekatan tadbir urus yang seimbang perlu memastikan pembangunan ekonomi dapat dipacu tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial dan kepentingan masyarakat. SEZ yang baik mestilah pantas, tetapi tidak terburu-buru; mesra pelabur, tetapi tidak meminggirkan kebajikan rakyat.

Kejayaan SEZ tidak ditentukan oleh insentif semata-mata, tetapi oleh keupayaan negara menyelaras kuasa antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Jambatan kuasa yang kukuh membolehkan dasar nasional diterjemah kepada kelulusan tempatan secara lancar, sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur dan kepercayaan rakyat. Jika penyelarasan ini diperkasa secara berterusan, SEZ berpotensi menjadi pemacu pembangunan yang diyakini, teratur dan bermanfaat kepada negara pada masa hadapan negara kelak. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah pensyarah Pusat Pengajian Undang-Undang di Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahli Bersekutu (ACIS), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) dan Timbalan Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×