KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merancang melaksanakan beberapa projek pembangunan baharu termasuk pembinaan sekolah dan pusat tahfiz serta menyokong pembangunan Automotive High Tech Valley (AHTV) Tanjung Malim dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan dan pembangunan industri di kawasan tersebut.
Inisiatif berkenaan antara perancangan universiti itu bagi memperluas peranannya bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malah menyumbang kepada pembangunan komuniti dan industri.
Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Md. Amin Md. Taff berkata, dalam masa sama, pihaknya turut menyokong pembangunan AHTV di Tanjung Malim yang dijangka menjadi hab industri automotif berteknologi tinggi dan mampu membuka peluang kerjasama baharu antara universiti serta pihak industri.
“Pembinaan sekolah yang dibahagikan kepada dua kategori itu iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah akan menjadi makmal untuk para pelajar menjalankan penyelidikan berterusan dan kajian pedagogi di samping penubuhan tahfiz yang menerima wakaf sebanyak RM 14 juta pula daripada Yayasan Rafulin akan menjadi satu tempat untuk semua berkampung mendapat pendidikan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam Majlis Iftar Silaturahim Bersama Media dan Rakan Strategik 2026 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini
Kata beliau lagi, pelaksanaan inisiatif ini sangat signifikan untuk menyediakan ruang pendidikan yang lebih bertaraf tinggi kerana tenaga luar akan diambil untuk menjadi tenaga pengajar untuk semua yang menerima manfaat inisiatif itu nanti.
Katanya, pembangunan tersebut juga berpotensi menyediakan lebih banyak peluang latihan, penyelidikan dan pembangunan bakat kepada pelajar UPSI.
Sementara itu, majlis iftar berkenaan turut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media yang banyak membantu menyalurkan liputan berkaitan tragedi kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar UPSI tahun lalu.
Liputan meluas oleh pelbagai organisasi media telah membantu menonjolkan nilai kemanusiaan, keprihatinan serta sokongan moral terhadap komuniti universiti ketika berdepan detik sukar tersebut.
Penganjuran majlis iftar tahun ini merupakan yang terbesar berbanding tahun lalu apabila hampir semua agensi media perdana hadir memeriahkan majlis berkenaan. – UTUSAN










