MARANG: Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahan tindakan Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok, Thailand, Disember tahun lalu yang dianggap beliau dibuat atas kapasiti Ahli Parlimen Larut berkenaan selaku ketua pembangkang.
Presiden Pas itu berkata, beliau dimaklumkan oleh Hamzah tentang hasil pertemuan itu yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Katanya, hasil laporan diberikan Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pihaknya bersedia menerima pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengan kerjasama bersama DAP.
“Hamzah hadir sebagai ketua pembangkang, dia berhak nak jumpa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Beliau ditanya tentang tindakan Hamzah yang dikatakan membelakangkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid di Bangkok.
Sebelum ini, Muhyiddin dilapor mendedahkan perancangan dibuat Hamzah untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan membentuk gabungan bersama parti lain.
Pertemuan tersebut disahkan Ahmad Zahid yang mana antara perbincangan tersebut adalah berkaitan isu penyatuan Melayu dan Islam.
Susulan itu, Hamzah berkata, pertemuan di Bangkok turut melibatkan wakil parti lain termasuk pemimpin Pas namun Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan terlibat dalam pertemuan tersebut.
Takiyuddin pula dilapor mengakui mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid di Bangkok dengan pengetahuan Abdul Hadi.
Bagaimanapun katanya, pertemuan itu hanya perbincangan biasa dan tiada tujuan khusus selain tiada Langkah Bangkok atau ‘Bangkok Move’ sebagaimana yang dikaitkan sesetengah pihak. – UTUSAN










