KUALA LUMPUR: Polis berjaya memberkas dua lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kejadian ragut sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang pelancong Sepanyol di Taman Midah, Cheras di sini, pada 17 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada hari sama kira-kira pukul 1.59 petang.
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berjaya menahan dua suspek lelaki tempatan berusia 27 hingga 28 tahun di sekitar Cheras pada 6 Mac lalu.
“Polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan jenayah berkenaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 7 Mac hingga esok bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan pertuduhan lanjut,” katanya. – UTUSAN










