Sektor pendidikan tinggi pemangkin hubungan antarabangsa - Zambry

Sektor pendidikan tinggi pemangkin hubungan antarabangsa – Zambry

ZAMBRY ABD. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Asia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mempertahan serta memperbaharui kerjasama pelbagai hala dalam landskap geopolitik global.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, persaingan geopolitik, tekanan ekonomi serta penggunaan teknologi kini semakin ketara memandangkan dunia berada dalam era ‘age of power’.

“Asia melihat keadaan ini sebagai satu defisit kepercayaan terhadap sistem antarabangsa, khususnya apabila undang-undang dan peraturan global dilihat tidak diterapkan secara konsisten.

“Sehubungan itu, Malaysia menegaskan kepentingan autonomi strategik melalui pendekatan non-alignment aktif, di samping mempertahankan prinsip kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa serta multilateralisme yang adil dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zambry berkata, Asia mempunyai kekuatan ekonomi, demografi dan pengaruh diplomatik yang besar untuk membantu membentuk sistem antarabangsa yang lebih seimbang.

Katanya, multilateralisme pada masa hadapan perlu lebih inklusif serta mencerminkan suara dan aspirasi majoriti negara di dunia.

“Kerjasama strategik antara negara-negara Asia perlu terus diperkukuh, dengan sektor pendidikan tinggi memainkan peranan penting sebagai pemangkin hubungan antarabangsa melalui pertukaran ilmu, mobiliti pelajar dan penyelidikan bersama.

“Oleh itu, institusi pendidikan tinggi berpotensi menjadi jambatan yang menghubungkan negara-negara serantau dalam membangunkan bakat, memperkukuh diplomasi ilmu serta menyokong pembentukan sistem global yang lebih seimbang, inklusif dan berteraskan kerjasama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×