KOTA BHARU: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) akan melakukan rondaan berkala di semua stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi membendung penyeludupan petrol yang dijangka meningkat susulan krisis di Asia Barat ketika ini.
Komandernya, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussin berkata, penugasan itu dilakukan oleh anggota berpakaian preman sekali gus mengelak kehadiran anggota PGA diketahui pihak sindiket.
Katanya, ia bertujuan memastikan stesen-stesen minyak itu tidak menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing tanpa kawalan termasuk penyeludup.
“Kita akui ada warga tempatan yang terlibat dengan penyuludupan dengan mengubah tangki asal pada kenderaan termasuk van dan lori.
“Kami (PGA) tidak menolak kemungkinan penyeludupan bahan bakar akan meningkat susulan krisis di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat-Israel dengan Iran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ahmad Radzi berkata, PGA turut menjalin kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) bagi memastikan kegiatan itu dikekang. –UTUSAN










