Hospital, kakitangan perubatan di Gaza hampir lumpuh

Hospital, kakitangan perubatan di Gaza hampir lumpuh

Kanak-kanak Palestin mencari jika ada barang-barang yang masih boleh digunakan selepas serangan tentera Zionis di kem penempatan Nuseirat, tengah Gaza, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis kema­nusiaan di Gaza semakin meruncing apabila hospital-hospital bergelut menampung pesakit dengan kekurangan ubat-ubatan, bekalan pembedahan dan tenaga kerja perubatan, selepas lebih 1,700 petugas maut dalam konflik berterusan.

Kedutaan Palestin berkata, situasi sebegini sudah berlarutan hampir 150 hari sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai.

Laporan menunjukkan 629 rakyat Palestin telah terbunuh dalam tempoh ini, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak Oktober 2023 sekitar 72,096 orang, termasuk lebih 21,000 kanak-kanak serta lebih 170,000 mangsa cedera.

“Perkhidmatan kesihatan berada di bawah tekanan amat besar. Sebahagian kecil daripada 36 hospital di Gaza tidak sepenuh­nya beroperasi.

“Kemudahan kesihatan di Gaza kekurangan ubat-ubatan utama, peralatan pembedahan dan bahan api bagi mengekalkan operasi penjana serta peralatan kritikal untuk menyelamatkan nyawa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kedutaan Palestin turut menyifatkan penutupan sempadan Rafah oleh tentera Israel bagi menyekat bantuan kemanusiaan daripada memasuki Gaza juga merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Sempadan Rafah kekal sebagai salah satu laluan utama bagi pergerakan orang awam dan penghantaran bantuan kemanusiaan ketika laluan alternatif ditutup atau berfungsi pada kapasiti sangat terhad.

“Sekatan terhadap kemasukan makanan, bekalan perubatan, dan bahan perlindungan sedang berisiko mengancam nyawa lebih dua juta penduduk Gaza,” katanya.

Menurut Kedutaan Palestin, sekatan penghantaran bantuan khususnya berdasarkan keperluan kemanusiaan yang didokumenkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menimbulkan kebimbangan serius di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Sekatan pergerakan secara lebih meluas di seluruh Wilayah Palestin termasuk Tebing Barat dan Al-Quds mengehadkan mobiliti orang awam dan akses kepada perkhidmatan asas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×