Bukti institusi raja proaktif - Utusan Malaysia

Bukti institusi raja proaktif

ANWAR Ibrahim adalah ketua parti politik yang pertama menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siri pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama pemimpin politik kerajaan dan pembangkang membuktikan ins­titusi beraja bertindak proaktif berhubung isu semasa tanah air.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim berkata, rakyat kini menaruh harapan kepada institusi raja untuk mengadu masalah setelah melihat ketidakcekapan kerajaan hari ini dalam menguruskan masalah besar melanda negara.

“Apabila Agong berjumpa dengan pemimpin-pemimpin politik sudah tentu rakyat berasa lega. Apatah lagi ditambah pelaksanaan darurat dengan tiada langsung semak dan seimbang disebabkan Parlimen tidak bersidang.

“Malah kerajaan kini masih terkial-kial dalam menyelesaikan masalah-masalah melanda negara, tentunya tiada siapa yang boleh dipersalahkan me­lainkan kerajaan sendiri,” kata­nya ketika dihubungi.

Minggu lalu Istana Negara kembali menjadi tumpuan apabila beberapa pemimpin politik daripada kerajaan dan pembangkang mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Pertemuan dimulakan de­ngan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan disusuli beberapa ketua parti politik termasuk kerajaan.

Selain itu melibatkan bekas Perdana Menteri merangkap Pengerusi Penaja Parti Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong berkenan meng­anjurkan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok di Istana Negara berkaitan usaha-usaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.

Dalam pada itu, Ahmad Faris berkata, meskipun tiada sesiapa pun yang mengetahui secara tepat tujuan pertemuan tersebut namun secara umumnya ia ber­kenaan situasi melanda negara pada hari ini.

Beliau percaya pemimpin pembangkang telah menggunakan peluang menghadap Seri Paduka untuk menyampaikan pandangan mereka khususnya soal pengurusan Covid-19 dan proses semak serta seimbang ekoran Parlimen tidak bersidang.

“Malah sekurang-kurangnya dalam kalangan pemimpin pembangkang mengetahui pendirian mereka yang tidak bersetuju dengan darurat dan mahu Parlimen segera bersidang. Hujah mereka ialah pentingnya elemen semak dan imbang dikembalikan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×