PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh menekankan keperluan untuk memiliki kumpulan pemain yang besar bagi memastikan persiapan rapi dapat dilakukan menjelang Piala Dunia dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Menurut Sarjit, jarak masa antara kedua-dua kejohanan itu agak singkat, justeru dia memerlukan fleksibiliti dalam pemilihan pemain serta strategi yang mampu menampung sebarang kemungkinan seperti kecederaan dan sebagainya.
Malaysia layak beraksi di Piala Dunia dekat Belanda dan Belgium pada 14 hingga 30 Ogos ini dan mereka kemudiannya akan mengharungi Sukan Asia yang akan bermula pada 19 September hingga 4 Oktober ini.
Itu bermakna, Speedy Tigers hanya mempunyai masa kurang daripada tiga minggu untuk melakukan persediaan di antara dua kejohanan tersebut.
“Kita punya masalah sekarang adalah perlu dapatkan kumpulan pemain yang besar. Itu perancangan kita buat masa sekarang,” katanya.
Sarjit bakal mengintai pemain yang dirasakan bersesuaian dengan kehendak taktikal pasukan menerusi Liga Hoki Malaysia (MHL) yang dijangka bermula pada suku kedua tahun ini.
Jurulatih berusia 64 tahun itu turut memberitahu selain dua kejohanan tersebut, Speedy Tigers dijangka menyertai Piala Negara-Negara yang dijadual diadakan di New Zealand, Jun ini.
Malaysia layak ke Piala Dunia 2026 apabila muncul pasukan keempat terbaik bagi dua kempen kelayakan yang berlangsung di Mesir dan Chile pada minggu lalu. – UTUSAN










